Ahli Parlimen Sungai Besar merangkap ADUN Sungai Panjang, Budiman Zohdi bercakap ketika ditemubual wartawan Malaysia Gazette di Yayasan Budi, Damansara. foto SAFWAN MANSOR, 02 JANUARI 2018
KUALA LUMPUR – Rekod prestasi Barisan Nasional (BN) sejak sehingga kini cuba dinafikan oleh pemimpin pembangkang dengan cara menanamkan politik kebencian.

Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd. Zohdi berkata, politik kebencian menerusi ‘pembunuhan karakter’ antara taktik licik pembangkang lebih-lebih lagi dendam kesumat peribadi yang digunakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Rekod prestasi BN kita tidak boleh nafikan. Apa yang mereka perlu buat ialah menitipkan kebencian-kebencian politik dengan menitipkan bahawa polisi dan dasar yang padanya tidak memihak kepada rakyat.

“Penitipan kebencian politik itu diberikan dengan cara mengambil kredit apa dibuat oleh kerajaan ada pada hari ini,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Bagaimanapun, Budiman tidak menafikan usaha untuk ‘memadamkan’ rekod prestasi BN itu juga disebabkan kelemahan dalam sistem penyampaian kerajaan sendiri.

“Bila Bajet 2018 baru-baru ini kerajaan membuat pengumuman untuk mansuhkan kutipan tol dan tarikhnya adalah pada 1 Januari 2018.

“Ironinya setelah tarikh pemansuhan itu, masih ada lagi para pengguna yang percaya atau tidak dan yakin atau tidak bahawa tol itu sudah dimansuhkan.

“Ini menunjukkan perlu penambahbaikan dari segi komunikasi dan sistem penyampaian itu sendiri,” jelasnya.

Katanya lagi, usaha menguar-uarkan inisiatif kerajaan ini merupakan tanggungjawab bersama dan setiap rakyat mesti menjadi jentera kepada kerajaan pemerintah pada hari ini.

“Mereka kena sentiasa sebut ini kebaikan-kebaikan yang dibuat oleh kerajaan dan ini memerlukan kesedaran yang menyeluruh, bukan hanya jentera parti tetapi rakyat secara keseluruhannya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast