KUALA LUMPUR – Seramai 1.5 juta orang menggunakan perkhidmatan rel dan bas kendalian Rapid KL semalam, iaitu jumlah penumpang sehari paling tinggi pernah direkodkan dalam sejarah penubuhan syarikat terbabit.
Jumlah penumpang yang tinggi itu direkodkan oleh kehadiran pengunjung ke acara ambang tahun baharu yang berlangsung di sekitar ibu kota antaranya di KLCC, TRX, Bukit Bintang, Pasar Seni dan Sunway.
Berdasarkan rekod, jumlah pengguna rel dan bas termasuk Demand Responsive-Transit (DRT) pada malam ambang tahun baharu semalam masing-masing adalah seramai 1.27 juta dan 207,266 orang.
Bagi perkhidmatan rel, laluan Kajang mencatatkan jumlah penumpang paling tinggi iaitu seramai 368,018; Kelana Jaya (345,791); Ampang/Sri Petaling (244,878); Putrajaya (221,252) dan Monorel Kuala Lumpur (91,769).
Bagi perkhidmatan bas dan DRT pula, bas Rapid KL merekodkan seramai 185,145 penumpang, BRT Sunway (20,000) dan DRT (2,121).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, pihaknya berbangga kerana dapat memenuhi keperluan pengguna pada malam ambang tahun baharu, sekali gus meningkatkan keyakinan warga kota untuk memilih mod pengangkutan awam sebagai azam tahun 2025.
Ujar beliau, kelancaran operasi itu ditunjangi hampir 3,000 kakitangan barisan hadapan Rapid KL yang berdedikasi tinggi dalam menjalankan tugas sehingga tamat waktu operasi pukul 1 pagi tadi.
“Kejayaan mengendalikan operasi berskala besar ini membuktikan bahawa kakitangan Rapid KL memiliki kemahiran dan kecekapan tinggi serta pengalaman yang luas dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.
Selain itu, tambah beliau, koordinasi menyeluruh bersama pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), peganjur acara dan agensi-agensi terlibat serta perancangan teliti oleh pihak Rapik KL turut menjadi faktor kejayaan operasi berskala besar itu.
“Jutaan terima kasih kepada semua pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang yang telah menyokong Rapid KL sepanjang tahun 2024.
“Kejayaan mencatat rekod baharu ini menjadi satu semangat dan batu loncatan kepada Rapid KL untuk terus berusaha dan memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang dan efisien kepada semua pengguna pengangkutan awam,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menambah, Rapid KL akan terus memperkasakan pengalaman pengguna pengangkutan awam di samping memperkenalkan pelbagai inisiatif yang lebih baik untuk tahun 2025 seperti perolehan bas elektrik dan van DRT baharu, pembukaan laluan Shah Alam dan banyak lagi. – MalaysiaGazette
















