Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Kebimbangan mula dirasai blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) susulan kempen undi rosak yang dijalankan sehingga memaksa pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad merayu kepada rakyat menolak kempen tersebut.

Dr Mahathir mendakwa kempen itu bertujuan mengelirukan rakyat dalam memilih parti yang perlu memerintah negara dalam pilihan raya umum ke-14 nanti.

“Segelintir orang yang membuat promosi boikot pilihan raya… kebanyakan orang ini belah sana (UMNO), kononnya tiada beza Harapan dengan Datuk Seri Najib (Tun Abdul Razak), jadi tak payah undi.

“Kalau ramai tak undi, UMNO dan Barisan Nasional dapat kemenangan. Ini bukan masalah Harapan tidak lebih baik daripada Najib. Masalahnya adalah UMNO nak cari kemenangan kelirukan pengundi,” katanya dalam satu sidang media hari ini di Yayasan Perdana.

Kempen yang baru dilancarkan sekumpulan pengguna media sosial jelas memperlihatkan manifestasi khususnya kelompok anak muda dan penyokong pembangkang yang kecewa dengan tindak tanduk kepimpinan parti sehingga memilih calon kitar semula sebagai Perdana Menteri jika memenangi PRU14.

Pembangkang patut bimbang dengan fenomena penolakan ini kerana anak muda yang satu ketika dahulu menaruh nasib kepada mereka nampaknya sudah merasa tertipu dengan janji pembangkang yang sentiasa tidak konsisten.

Rata-rata penyokong pembangkang memberi reaksi tidak berpuas hati dengan pengumuman PH untuk mencalonkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri ke-7 jika memenangi pilihan raya nanti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast