KUALA TERENGGANU – Sebanyak tujuh bom lama ditemukan di Terengganu hasil daripada tiga laporan yang diterima dari daerah Kemaman sepanjang 2017 dan kebanyakannya dijumpai di dalam ladang kelapa sawit, kata Komander Unit Pemusnahan Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, ASP Amin Sidek.

Amin berkata walaupun Terengganu bukanlah negeri yang merekodkan penemuan bom lama tertinggi di dalam negara tetapi risiko itu tetap ada memandangkan negeri ini sering mengalami musim tengkujuh yang ekstrem.

“Episod hujan lebat yang berterusan dalam tempoh lama, hakisan dan banjir besar boleh membongkar bom-bom lama ini ke permukaan bumi dan ini yang agak merisaukan kita setiap kali musim tengkujuh.

Namun, kita bersyukur kerana tiada sebarang kes kecederaan atau kemusnahan harta benda disebabkan bom lama yang dijumpai di seluruh Terengganu setakat ini,” katanya ketika ditemu bual Bernama di sini.

Beliau berkata tidak mustahil masih ada lagi bom lama ‘tersembunyi jauh dalam perut’ bumi Terengganu ini namun belum dijumpai.- BERNAMA