JITRA, 30 Jan -- Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kodiang Lama, Ahmad Nayan@Majid menunjukkan batu yang menyerupai kerbau di gua batu kapur Gua Kerbau di Kampung Kodiang Lama hari ini. Gua Kerbau yang wujud sejak 200 hingga 300 juta tahun dahulu menyimpan pelbagai khazanah bentuk batuan batu kapur yang menarik dan pernah menjadi penempatan orang purba zaman Neolitik.?--fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA
BAGI mereka yang menggunakan laluan Jitra ke Kodiang pasti terpukau melihat keunikan beberapa bukit batu kapur yang terdapat di sepanjang laluan itu.

Namun di sebalik bukit batu kapur itu tersembunyi Gua Kerbau yang mempunyai keunikan tersendiri dari segi mitos dan batuan yang terhasil sejak 200 hingga 300 juta tahun dahulu.

Pemandangan Bukit Mulong berlanskapkan sawah padi tersembunyi Gua Kerbau yang mempunyai struktur batuan batu kapur menarik untuk dilawati di Kampung Kodiang Lama hari ini.
Gua Kerbau yang wujud sejak 200 hingga 300 juta tahun dahulu menyimpan pelbagai khazanah bentuk batuan batu kapur yang menarik dan pernah menjadi penempatan orang purba zaman Neolitik.?–fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Nama Gua Kerbau mungkin diberi orang dulu-dulu kononnya seekor kerbau terkena sumpahan ‘Sang Kelembai’ dan sehingga hari ini terdapat batu besar menyerupai seekor kerbau yang sedang baring, namun tiada bukti sahih setakat ini,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kodiang Lama, Ahmad Nayan@Majid kepada Bernama di sini,

Ahmad berkata, kemudahan di kawasan gua itu perlu ditambah baik untuk keselesaan orang ramai yang datang melawat seperti lampu di bahagian dalam dan jalan masuk yang lebih selamat bagi pengunjung menimba pengalaman berada di dalamnya.
“Gua ini pernah menjadi penempatan orang purba di zaman Neolitik berdasarkan penemuan artifak alat-alat batu oleh pengkaji dan ia pernah menjadi penempatan masyarakat Orang Asli dan tempat latihan tentera Kedah ketika serangan tentera Siam.

Jadi eloklah Gua Kerbau ini diberi tumpuan khusus untuk dibangunkan dengan kemudahan jalan masuk dan keluar yang lebih sempurna, kawasan letak kereta, dewan serbaguna dan medan selera yang lebih tersusun agar menarik lebih ramai pelancong menjalankan aktiviti riadah di sini,? katanya.

Tinjauan Bernama di sekitar gua berkenaan mendapati, terdapat beberapa kemudahan telah disediakan seperti titi gantung, tempat duduk,dan anak tangga memasuki gua, tandas, surau dan sebuah gerai makan.


Memasuki dalam gua, suasana menjadi dingin dan kelihatan permukaan batu kapur mengalami banyak kakisan lereng dan alur pelarutan di bahagian selatan kawasan gua yang mana terdapat banyak struktur batuan stalagtit dan stalagmit yang menarik.

Secara keseluruhanya, gua yang terbentuk jutaan tahun itu memiliki batuan yang berwarna kelabu dan merah daripada tanah aluvium dan keadaan pada bahagian tebing di bahagian utara adalah lebih landai.

Menurutnya, Gua Kerbau juga berpotensi untuk dijadikan sebagai tapak geowarisan negara kerana mempunyai struktur semula jadi yang indah.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya, Kedah Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid ketika dihubungi berkata, kerajaan negeri sentiasa menghargai gua-gua batu kapur di negeri ini kerana mempunyai nilai warisan geologi dan bersejarah.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Jawatankuasa Geopark Negeri Kedah diwujudkan bagi membolehkan kerja-kerja pemantauan dan pemuliharaan dilakukan secara tersusun agar gua-gua ini terpelihara.

“Kita juga minta pihak Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP), Penghulu Mukim dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bersama masyarakat setempat memulihara gua batu kapur dengan program-program kesedaran melibatkan orang muda bagi menimbulkan rasa kasih dan sayang kepada khazanah tidak ternilai ini,” katanya.

Rawi berkata, Gua Kerbau terbentuk sejak 290 juta tahun lalu dan seusia dengan Gunung Keriang dan lebih tua ialah Gunung Jerai sekitar 550 juta tahun yang sama tua dengan Gunung Mat Chinchang di Langkawi.

“Kita juga nak jawatankuasa itu memberi perhatian kepada makam-makam lama serta kota-kota bersejarah yang menceritakan kisah peperangan dan pemerintahan raja-raja sebelum ini dalam mempertahankan negeri Kedah dari serangan Siam dan era penjajahan British,” katanya.- BERNAMA