KUALA LUMPUR – Motif parti pembangkang yang mendesak kerajaan untuk menjemput pasukan pemantau pilihan raya bebas dari negara luar dipertikaikan penganalisis politik.
Dekan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Ahmad Martadha Mohamed berpendapat, tindakan itu dilihat berisiko mengakibatkan berlakunya manipulasi maklumat berdasarkan kepentingan pihak-pihak tertentu.
“Kita tidak mahu supaya ada pihak mempunyai kepentingan terutama memanipulasikan maklumat yang boleh digunapakai untuk tujuan tertentu,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.
Beliau mengulas desakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang juga Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendesak kerajaan mengundang pasukan pemantau pilihan raya bebas daripada Sekretariat Komanwel dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memantau perjalanan PRU-14.
Ahmad Martadha menambah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah lama mengiktiraf sistem pilihan raya dalam negara dalam tahap yang memuaskan hati ekoran ketelusan yang diamalkan.
“Sistem kita lebih terbuka dan misalnya PBB tidak ada masalah dengan pelaksanaan pilihan raya kita selama ini.
“Daripada segi kerajaan pun sentiasa menambah baik sistem pilihan raya umum dan kerajaan sentiasa terbuka apa juga input yg dibuat masyarakat terutama dari segi mempertingkatkan proses pilihan raya sebab,” tambahnya. -MalaysiaGazette
















