Menteri Kesihatan, Datuk Seri S.Subramaniam bercakap ketika sesi sidang media pada Majlis Pelancaran Minggu Kanser Sedunia di Shantanand Auditorium, Temple of Fine Arts, Brickfields, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 05 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPUR – Analisis sampel kopi campuran yang baru-baru ini mengundang padah kepada tujuh mangsanya dijangka selesai dalam tempoh seminggu, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Dalam pada itu beliau menasihatkan agar rakyat tidak meminum atau membeli produk yang masih berada di pasaran lagi.

“Tidak lama lagi mungkin dalam seminggu akan keluar analisa sampel kopi campuran.

“Tapi saya nasihatkan kepada rakyat untuk jangan ambil edaran sachet ini. Kalau lebih selamat jangan beli dan minum produk ini sehingga sampai semua siasatan sudah selesai dan kita tahu tidak ada masalah di dalam proses pengilangan dan pengedaran,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian mengulas kejadian terkini apabila dua lelaki dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas mengalami pening dan muntah akibat meminum kopi campuran yang sama oleh lima mangsa yang terdahulu.

Tambahnya, penjualan kopi campuran yang disyaki mengandungi bahan asing itu tidak boleh dihentikan selagi tiada bukti kukuh produk tersebut bahaya.

“Sekarang kita tidak ada bukti kerana ini nampak macam tindakan jenayah apabila disyaki bungkusan kopi yang diminum mereka dan diberikan oleh orang yang tidak dikenali dibuka dan digam semula,” ujar beliau.

Terdahulu, Subramaniam merasmikan Minggu Kanser Sedunia 2018 di Auditorium Shantanand, Brickfields.

Siasatan terhadap kilang pengeluar kopi campuran itu tidak menemui sebarang bukti yang mengesahkan bahawa produk itu berbahaya. – MalaysiaGazettte