JPM

PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Razak mensasarkan tahun ini sebagai tahun kejayaan dan keberhasilan yang mengagumkan untuk negara.

Perdana Menteri berkata, beliau mahu menjadikan tahun ini sebagai tahun yang istimewa dan akan bekerja lebih gigih bersama timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya harap tuan-tuan dapat tolong, jadikan Malaysia negara indah, lagi hebat, lagi baik kita bekerjasama dalam satu keluarga satu pasukan, Insyaallah apa yang diharap akan jadi kenyataan,” katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan di Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Hadir sama pada perhimpunan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussien; Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Shahidan Kassim dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Razali Ibrahim.

Dalam ucapannya Najib turut memberitahu, tahun ini ada sedikit kelainan apabila rakyat akan membuat keputusan untuk menentukan masa depan negara.

Katanya, keputusan penting yang perlu dinilai oleh rakyat adalah sejauh mana mereka melihat pihak yang boleh mentadbir negara serta keyakinan dalam menjaga kebajikan mereka.

Tambahnya, mereka juga perlu melihat ke hadapan bagi menentukan masa depan yang diharap dapat dilakar oleh minda serta menjadikan ia sebagai satu kenyataan.

“Untuk kita sampai ke tahap itu, kita perlu sebuah kerajaan bukan sahaja para pentadbir untuk semua tetapi pejawat awam yang boleh menjalankan pentadbiran negara dengan cekap efisyen dan berintegriti.

“Kalau kita bersikap sambil lewa atau melihat satu permasalahan kita tambah lagi masalah tanpa cari penyelesaian atau bersifat ‘red tape’ tentu sekali tidak akan dapat memenuhi harapan rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette