Zlatan Ibrahimovic kembali ke Old Trafford hari ini dengan mempersetujui kontrak setahun lagi dan akan menyarung jersi nombor 10 musim ini. Manutd.com

SWEDEN – Bintang Manchester United, Zlatan Ibrahimovic merupakan pemain bola sepak popular yang sering menjadi perhatian di atas padang.

Namun, laporan terbaharu mengatakan bintang antarabangsa Sweden bakal melakukan penampilan dalam layar perak pula.

Sebuah syarikat filem Sweden sedang menyiapkan filem yang mengisahkan tentang penyerang The Red Devils itu.

Filem itu dianggarkan menelan kos sekitar 5 juta euro dan akan mengisahkan tentang memori kehidupan  dengan tajuk “I Am Zlatan Ibrahimovic”.

Ibrahimovic membesar dalam persekitaran serba kekurangan di sebuah kawasan pinggir bandar Sweden iaitu Malmo sebelum memulakan karier bola sepak.

Ibrahimovic beraksi bersama kelab Belanda, Ajax, Juventus, Intermilan, Barcelona, AC Milan, Paris Saint-Germain sebelum berhijrah ke Old Trafford tahun lalu.

Pembikin filem berkenaan, Mattias Nohrborg memberitahu, Ibrahimovic telah mengharungi perjalanan hidup yang luar biasa.

“Dia dibesarkan dalam suasana yang mana hampir 90 peratus remaja seumurnya tertindas akibat kemiskinan, tetapi dia berjaya berdikari dan memajukan diri tanpa bergantung kepada orang lain,” katanya.

Dengan filem ini, Ibrahimovic berusia 36 tahun tergolong dalam figura sukan terkemuka dunia seperti Jake LaMotta, Brian Clough dan Muhammad Ali yang juga kisah hidup mereka telah diadaptasi dalam bentuk filem di layar Perak di masa lampau. – MalaysiaGazette