Abdul Rahman Dahlan

KUALA LUMPUR- Jualan runcit hypermarket hanya merangkumi lapan peratus daripada keseluruhan jualan runcit di negara ini sekaligus ia tidak boleh dijadikan tanda aras prestasi segmen tersebut apatah lagi dijadikan gambaran sebenar ekonomi.

Ini kerana menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, jualan runcit secara keseluruhan masih merekodkan pertumbuhan kukuh daripada segi nilai dan jumlah yang mana masing-masing berkembang sebanyak 7.8 peratus, 11.5 dan 10.4 peratus pada suku pertama, kedua dan ketiga tahun lalu.

Malah sepanjang 11 bulan pertama tahun 2017, jualan runcit mencatatkan peningkatan sebanyak 11.6 peratus kepada RM410.5 bilion ringgit berbanding RM367.7 bilion tempoh sama pada tahun 2016.

Jumlah kedai-kedai tidak khusus (non-specialized store) yang turut merangkumi hypermarket juga meningkat kepada 73,848 pada tahun lalu berbanding 66,920 unit sebelumnya.

“Ini sahaja mungkin menjadi alasan mengapa sesetengah hypermarket mengalami kemerosotan jualan kerana pelanggan kini mempunyai pilihan yang lebih banyak untuk membeli-belah.

“Prestasi ekonomi dan keadaan negara serta rakyat tidak boleh diukur dengan menggunakan satu sub-sektor seperti industri hypermarket sahaja.

“Walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mempunyai keterbatasannya sendiri dan mungkin tidak sempurna untuk dijadikan petunjuk kebajikan dan kesejahteraan rakyat, ia masih mempunyai hubung kait yang baik dengan langkah-langkah kualitatif kemakmuran yang lebih meluas.

“Apabila KDNK berkembang, lebih banyak peluang pekerjaan akan dibuka, pendapatan isi rumah akan meningkat dan rakyat memiliki lebih banyak wang untuk dibelanjakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Justeru, Abdul Rahman menafikan dakwaan Pengarah Urusan Mydin Holdings Bhd., Datuk Ameer Mydin yang mengatakan pertumbuhan KDNK adalah kukuh namun malangnya rakyat tidak mempunyai wang yang cukup berbelanja.

Beliau membuat kenyataan tersebut semasa ditemubual oleh stesen radio BFM mengenai kegagalan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 1.0. yang akhirnya menyebabkan beliau kerugiaan sebanyak RM100 juta.

Menurut Abdul Rahman, berdasarkan Sensus Ekonomi 2016 yang diterbitkan Jabatan Statistik Malaysia, urusniaga e-perdagangan (perniagaan kepada pengguna atau B2C) bernilai RM73.7 bilion dan berkembang setiap tahun.

“Semakin ramai orang membeli barang termasuk barangan runcit menerusi dalam talian. Sesetengah hypermarket di Malaysia telah mula menawarkan jualan barangan runcit secara dalam talian dan membuat penghantaran ke rumah pembeli.

“Sesiapa yang tidak meneroka trend tersebut akan ketinggalan dan rugi,”katanya.-MalaysiaGazette