KUALA LUMPUR – Kerajaan telah bersetuju untuk mengurangkan kadar levi dan tol di laluan kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) berkuatkuasa 13 Februari ini.

Langkah itu bertujuan menggalakkan kenderaan menggunakan Linkedua berbanding Tambak Johor untuk kelancaran perjalanan.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu diambil menerusi perbincangan mendalam kedua-dua kerajaan bagi menyelesaikan isu kesesakan yang berlaku di Tambak Johor sewaktu pertemuan Retreat pemimpin tahunan Malaysia-Singapura baru-baru ini.

Malah menurut pejabat Perdana Menteri, pengurangan itu membabitkan levi kepada kenderaan komersial yang keluar dan masuk Malaysia dan kadar tol di luar waktu puncak bagi semua jenis kenderaan kecuali motosikal.

“Kerajaan telah merumuskan beberapa langkah komprehensif bagi menangani masalah ini iaitu telah bersetuju untuk mengurangkan levi kenderaan komersial di Linkedua kepada RM50 bagi kedua-dua laluan keluar dan masuk ke Malaysia daripada kadar semasa di antara RM100 hingga RM200 pada ketika ini.

“Selain itu, caj tol di waktu luar puncak bagi linkedua iaitu antara jam 10 pagi hingga 3 petang dan jam 11 malam hingga 5 pagi untuk semua kenderaan kecuali motosikal juga dikurangkan antara 47 peratus hingga 82 peratus mengikut kelas kenderaan tersebut.

“Kadar baharu selepas pengurangan ini ialah seperti berikut: caj tol untuk kenderaan persendirian dikurangkan daripada RM7.50 kepada RM4, teksi daripda RM5.70 kepada RM3, bas daripda RM9.10 kepada RM4.50.

“Manakala kenderaan komersial pula bagi kedua-dua kelas 2 dan 3 dikurangkan daripada RM17.10 dan RM34.30 kepada RM4.50 dan RM6.10, sama seperti kadar di Tambak Johor,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Tambah Pejabat Perdana Menteri, langkah itu dijangka dapat mengurangkan lambakan kenderaan komersial di Tambak Johor sebanyak 40 peratus.

Dalam kenyataan yang sama, katanya, langkah lain yang sedang diambil kerajaan adalah pembinaan Sistem Transit Rapid (RTS) menghubungkan Johor Bahru dan Singapura.

Projek ini, katanya, akan menghubungkan stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands North, Singapura yang dijangka beroperasi pada 2024 dan membawa 10,000 penumpang sehala dalam masa sejam.

Katanya, RTS dapat mengurangkan masa perjalanan penumpang antara kedua-dua negara kepada 30 minit berbanding lebih sejam pada masa ini.

Selain itu kerajaan Malaysia dan Singapura telah pun menyerahkan surat tawaran kepada syarikat yang akan membina dan mengendalikan perkhidmatan RTS tersebut.

“Selain itu bagi mengurangkan kesesakan di kawasan sama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan meningkatkan kekerapan perkhidmatan berulang alik Shuttle Tebrau daripada 26 perjalanan kepada 31 perjalanan sehari.

“Ini membolehkan KTMB membawa 1,500 penumpang tambahan menyeberangi Tambak Johor berbanding 7,783 orang sahaja ketika ini.

“Perkhidmatan ini memberi pilihan kepada penumpang apabila dapat menjimatkan masa lima minit sahaja berbanding 45 minit hingga 2 jam jika menggunakan bas dan disifatkan sebagai langkah jangka pendek sebelum laluan RTS sepanjang 4 kilometer siap sepenuhnya,” kata kenyataan itu.

Dalam perkembangan sama, jelas Pejabat Perda Menteri, langkah itu juga dikatakan dapat memanfaatkan pengguna harian yang mana mereka tidak perlu lagi keluar lebih awal dari rumah setiap hari demi mengelak kesesakan.

Tambahan, ia juga berpotensi meningkatkan bilangan pelancong ke negara dengan pengurangan kesesakan di tambak Johor.

“Kerajaan juga telah menubuhkan Pasukan petugas Peringkat Tertinggi yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk menambah baik pengurusan trafik di Tambak Johor dengan mengenalpasti dan membincangkan langkah jangka panjang termasuk hanya mewujudkan satu pusat pemeriksaan di sempadan Malaysia dan Singapura.

“Usaha kita untuk meningkatkan lagi sistem perhubungan dan urusan imigresen di antara kedua-dua negara adalah manifestasi kesungguhan kedua-dua kerajaan untuk menjamin hubungan dan kerjasama yang memanfaatkan rakyat kedua-dua negara,” kata kenyataan itu.

Selasa lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa khas membincangkan kesesakan di Tambak Johor.

Jawatankuasa itu telah mencadangkan pengurangan kadar levi dan tol sebelum merujuk ke mesyuarat Kabinet pada Rabu lepas untuk kelulusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, difahamkan lebih 300,000 hingga 400,000 orang keluar masuk Malaysia-Singapura setiap hari.- MalaysiaGazette