Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah

ALOR SETAR – Masyarakat Cina diingatkan agar tidak mengulangi kesilapan lalu dengan memilih pemimpin yang salah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 ini hingga merugikan diri mereka sendiri.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, pemilihan pemimpin yang tidak betul dan ‘semborono’ menyebabkan sesetengah kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) akan ketinggalan dan dibiarkan oleh pemimpin tersebut tanpa pembelaan sewajarnya.

“Saya minta janganlah ulangi kesilapan lalu, dahulu dah buat tengoklah apa yang telah berlaku, kembalilah kepada Barisan Nasional (BN) yang telah terbukti dapat membantu rakyat dan membangunkan kawasan,” katanya pada Majlis Jamuan dan Penyampaian Sumbangan Sempena Tahun Baharu Cina 2018, di Sri Mentalon di sini, hari ini.

Pada majlis sama, Ahmad Bashah menyampaikan sumbangan ang pau dan limau mandarin kepada kira-kira 600 orang masyarakat Tionghua dari 36 DUN di negeri ini.

Ahmad Bashah berkata, tidak rugi untuk memilih pemimpin BN sebagai wakil rakyat, kerana mereka mampu menjadi ‘jambatan’ penghubung rakyat dengan kerajaan Persekutuan.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan masyarakat Cina tidak terpengaruh dengan individu atau kumpulan pemimpin pembangkang yang muncul lima tahun sekali menabur janji pilihan raya serta memujuk rakyat menukar kerajaan sedia ada.

“Pilih pembangkang belum tentu menjamin masa depan yang lebih baik yang kita nikmati ketika ini”, katanya.

Ahmad Bashah berkata, ingatan ini juga sering diperkatakan kepada kaum-kaum lain demi menjamin masa depan generasi akan datang. – MalaysiaGazette