Hasbullah Ridzwan (kiri) mendakwa peruntukan sebanyak RM800,000 kepada 13 Ahli Dewan Undangan Negeri Pas di Selangor dibuat secara lisan.

KUALA LUMPUR – Peruntukan sebanyak RM800,000 kepada 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas di Selangor dibuat secara lisan dan tidak ada arahan hitam putih dikeluarkan, dedah Ketua Penerangan Pas Selangor Hasbullah Ridzwan.

Hasbullah berkata, kebiasaannya peruntukan kepada semua ADUN di negeri itu diberikan pada bulan Januari dan Februari setiap tahun, bagaimanapun sehingga kini wakil-wakil rakyat Pas masih belum menerima dana tersebut.

“Secara asasnya, peruntukan bagi semua ADUN ia akan turun setelah satu atau dua bulan bagi tahun yang baharu, maksudnya bagi tahun 2018 dalam sekitar bulan dua (Februari),” kata beliau dalam sesi penerangan diadakan di Keramat AU1 semalam.

Hasbullah yang juga ADUN Gombak Setia mendedahkan lebih mengejutkan diketahui sekatan peruntukan kepada ADUN Pas itu dibuat secara lisan dan tidak terdapat arahan hitam putih, sekali gus menimbulkan persoalan adakah wujud arahan daripada pihak tertentu.

“Cuma kita dimaklumkan bahawa peruntukan kepada ADUN Pas ditangguh secara lisan.

“Sebab itu mengapa kita Pas di peringkat YB Pesuruhjaya kita telah membuat makluman dan temujanji untuk bertemu dengan MB bagi mendapatkan maklumat dan penjelasan secara rasmi daripada beliau, itu status… kita dimaklumkan secara lisan, tidak ada arahan secara rasmi atau bertulis cuma kita dimaklumkan begitu,” katanya.

Menurut beliau, setakat ini kebanyakan ADUN Pas belum menerima peruntukan bagi tahun ini.

Sebelum ini, Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi tidak berpuas hati dengan dakwaan bahawa peruntukan untuk semua ADUN parti tersebut dibekukan.

Sallehen turut mendakwa dimaklumkan oleh Unit Perancang Ekonomi negeri bahawa peruntukan untuk wakil rakyat Pas itu disekat. – MalaysiaGazette