KUALA LUMPUR – Orang ramai berpeluang untuk menyertai cabaran program perniagaan bertemakan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) sebagai membuka minda terhadap fenomena yang kini melanda ekonomi global.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Rizal Faris Mohideen Abdul Kadir berkata, IR4.0 akan mengubah cara kita bekerja, menjalani kehidupan dan akan menetapkan arah dan tahap yang berbeza daripada apa yang telah dialami rakyat Malaysia selama ini.

Bagi tujuan itu katanya, DPMM akan menganjurkan program Langkawi GO 4.0 pada 16 dan 17 Februari ini di dataran letak kereta Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), di Langkawi.

Ia diadakan dengan kerjasama Dewan Perniagaan dan perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) dan disokong Human Resources Development Fund (HRDF).

“GO 4.0 merupakan salah satu program khusus di bawah aturan strategi digital DPMM yang bertujuan menjana kesedaran dan mendidik para usahawan, pelajar-pelajar, pegawai kerajaan, ahli politik dan juga orang awam mengenai cabaran-cabaran serta peluang-peluang yang terbit dari fenomena IR 4.0.

“Revolusi Perindustrian keempat (IR 4.0) akan mengubah cara kita bekerja, menjalani kehidupan dan akan menetapkan kita pada satu arah dan tahap yang berbeza dari apa yang telah dialami rakyat Malaysia selama ini.

“Sejajar dengan itu, sumbangan DPMM kepada masyarakat bukan sahaja kepada ahli-ahlinya tetapi juga kepada orang ramai dengan mendidik rakyat Malaysia tentang pengajaran-pengajaran dan peluang-peluang yang terhasil dari kepesatan teknologi dan inovasi IR 4.0,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Rizal Faris, DPMM juga ingin menyedarkan ahli-ahlinya bahawa banyak model perniagaan yang ada hari ini tidak lagi sesuai dengan tersedianya pelbagai teknologi serta kadar dan capaian yang berpatutan.

Katanya, peranan orang tengah di dalam bisnes bakal pupus dan model perniagaan berasaskan orang tengah harus difikirkan semula.

“Hampir semua orang muda atau tua, boleh mencipta produk dan perkhidmatan baru yang mampu dan boleh diperoleh dengan cepat.

“Ini bermakna rantaian bekalan tradisional perlu dicipta semula atau diubah dan pembekal perlu bertindak dengan segera untuk mencari kaedah penghantaran yang baharu demi kepentingan pelanggan mereka,” ujarnya.

Tambah Rizal Faris, dalam program selama dua hari di Langkawi itu, peserta akan megikuti pelbagai acara yang direka sejajar dengan strategi digital DPMM dan memberi didikan tentang IR 4.0.

Katanya, program pembukaan pada hari pertama
akan membawa pengunjung kepada perkongsian pengalaman bagaimana hendak menjana pendapatan di era IR4.0.

Manakala, peserta juga akan diberikan taklimat-taklimat keusahawanan daripada agensi kerajaan, usahawan wanita serta selebriti yang diundang. – MalaysiaGazette