Home Nasional Akta Koperasi dipinda untuk kepentingan semua

Akta Koperasi dipinda untuk kepentingan semua

Hamzah Zainudin bercakap kepada media pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara MyAngkasa Holdings Sdn. Bhd. dan ASN Mobile Sdn. Bhd di Wisma Ungku Abdul Aziz, Selangor. foto IQBAL BASRI, 22 FEBRUARI 2018

PETALING JAYA – Pindaan Akta Koperasi 1993 (Pindaan 2007) (Akta 502) dibuat bagi menjaga kepentingan semua pihak yang terlibat dalam koperasi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pindaan itu akan memberikan keyakinan kepada rakyat untuk menggunakan koperasi ini sebagai satu platform melakukan perniagaan dan bersaing dengan syarikat ternama.

“Akta ini akan bawa masuk ke Parlimen bagi kepentingan semua pihak secara lebih inklusif. Maknanya ia memberi peluang kepada koperasi untuk setanding dengan syarikat besar di bursa tempatan,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan pertukaran  memorandum kerjasama antara Myangkasa Holdings Sdn. Bhd, ASN Mobile Sdn Bhd, dan ASN Network Corporation Sdn Bhd dengan Universal Private Limited di Wisma Ungku A. Aziz hari ini.

Hadir sama, Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Sebelum ini Hamzah berkata, cadangan pindaan itu meliputi urus tadbir dan peraturan berkenaan koperasi di negara ini.

Pada November lalu, KPDNKK telah menyerahkan cadangan pindaan akta kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk diperhalusi.

Mengulas lanjut Hamzah berkata, sekiranya diluluskan kelak, kementerian tidak akan mengabaikan peranan Angkasa sebagai badan penggerak kepada Gerakan Koperasi Malaysia.

“Akta ini dipinda untuk penyesuaian situasi semasa, maka kita ubah suai supaya memberikan kemudahan kepada masyarakat.

“Contoh dalam tabdir urus, dulu apa pun kita lakukan kita kena dapatkan kelulusan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). Tapi sekarang kita permudahkan tetapi ada syarat. Kalau tidak dapat kelulusan tapi kena hantar ke SKM apa yang telah dilakukan,” katanya.

Pindaan tersebut akan membantu koperasi meningkatkan ekonomi domestik dengan menyentuh perkara-perkara lebih terperinci seperti pembahagian kategori koperasi mengikut skala yang sepatutnya. – MalaysiaGazette.