KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Kamaruddin Mohd Noor mendakwa tindakan ahli dan bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berhimpun di pejabat Pendaftar Pertubuhan (RoS) baru-baru ini didalangi oleh Barisan Nasional (BN).

Walaupun tidak menyatakan bukti dan asas kepada tuduhannya itu, beliau menyifatkan kesemua ‘rombongan’ yang hadir untuk mendesak RoS mengambil tindakan ke atas PPBM diarahkan oleh seterunya yang bakal mendapat keuntungan jika parti itu tidak dapat bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

“Secara jelas mereka ini makan upah. Adalah tu tangan belakang yang mengarahkannya.

“Ini semua untuk memenuhi agenda orang lain. Saya nak tengok lepas pilihan raya nanti mereka buat demonstrasi lagi atau tidak.

“Ini semua sabotaj, siapa yang untung kalau PPBM tidak bertanding? Itulah orangnya mudah sahaja,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Semalam kumpulan itu menyerahkan memorandum tersebut kepada Pengarah Bahagian Pengurusan Pertubuhan RoS Mohd Rejab Ramli.

Pada perhimpunan yang berlangsung kira-kira 30 minit berkenaan mereka turut melaungkan ‘Undur Mahathir’ dan membawa plakad bertulis ‘Mahathir Diktator’, ‘Muhyiddin Yassin Our Prime Minister’ dan ‘Patuhi Perlembagaan’.

Kamaruddin dalam pada itu menambah, ahli parti yang tidak berpuas hati sepatutnya berjumpa dengan kepimpinan sendiri untuk mengadakan perbincangan bukan bertindak sebaliknya.

“Kalau dia ahli parti atau dia sayangkan parti mereka tidak pergi ke RoS, datanglah kepada kita.

“Ini bergaduh dengan saudara tapi berkumpul buat demonstrasi di Chow Kit, itu perumpaannya. Kenapa tidak datang berjumpa dengan saudara berbincang bersama-sama? Itu kalau betul sayang parti,” ujarnya lagi. -MalaysiaGazette