Ketua Pengarah Seranta, Felcra Berhad, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris (tengah baju putih).

KUALA LUMPUR – Konvensyen Perdana Pertubuhan Wanita Dinamis Felcra (Wadira) yang berakhir semalam berjaya membuka lembaran baharu kepada golongan wanita yang berada di dalam Felcra atau nama penuhnya, Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan.

Ketua Pengarah Seranta Felcra Berhad, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, ini kerana konvensyen yang pertama kali dianjurkan itu bertujuan memberi kesedaran kepada ahli Wadira untuk mendepani perubahan dan pembangunan negara masa kini serta hadapan.

Jelas beliau, konvensyen selama dua hari itu menjadi titik penting memandangkan Wadira yang ditubuhkan sejak 1979, memerlukan transformasi selain pendekatan baharu untuk meneruskan legasi dibina bagi pembangunan wanita Felcra di negara ini.

“Pendekatan konvensyen telah dijalankan secara interaktif menerusi sesi dialog dalam usaha membantu peserta bertukar pandangan serta memberi input untuk memperkasakan lagi Wadira.

“Lebih teruja, kehadiran isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menyempurnakan perasmian konvensyen berjaya menyuntik sema­ngat pertubuhan itu dalam memperjuangkan nasib dan kepenti­ngan ahli-ahlinya.

“Apatah lagi beliau cukup dikenali sebagai individu yang banyak memberi sumba­ngan kepada pembangunan sosioekonomi dan kualiti kehidupan rakyat khususnya wanita dan kanak-kanak,” katanya.

Majlis perasmian Konvensyen Perdana Pertubuhan Wanita Dinamis Felcra (Wadira) 2018 telah disempurnakan oleh Datin Seri Rosmah Mansor.

Wadira merupakan sebuah organisasi wa­nita yang bertindak sebagai penyelaras dalam merencanakan aktiviti-aktiviti sosial dan ekonomi untuk Felcra.

Antara objektif Wadira adalah melahirkan wanita berpengetahuan, maju, progresif dan dinamik serta boleh memainkan peranan aktif dalam meningkatkan taraf sosio ekonomi keluarga.

Wadira ditubuhkan pada 1979 menerusi projek Felcra Berhad Seberang Perak. Sejak itu, Wadira diwujudkan di projek-projek terutama di kawasan perkampungan Felcra Berhad ataupun di perkampu­ngan berhampiran projek Felcra yang mempunyai penempatan peserta yang ramai.

Sehingga kini, kata terdapat 83 Wadira yang ditubuhkan di projek yang berpenempatan dengan keahlian seramai 17,562 orang.

Ketika ini, Wadira turut aktif menjalankan perniagaan restoran dan perkhidmatan katering, salon dan spa, perkhidmatan pengurusan inap desa, jahitan tudung dan telekung, tenunan songket, perusahaan mi kuning, roti dan pastri, lebah kelulut, pengeluaran dan penjualan kerepek dan makanan di atas jenama Wadira sendiri.

Mengulas lanjut, Najmil Faiz memberitahu, Felcra berbangga dengan pencapaian Wadira yang mampu menjadi platform dalam usaha mentransformasikan wanita-wanita tanah rancangan ini.

“Wadira begitu aktif dalam memperkasakan wanita-wanita Felcra di seluruh negara serta menitikberatkan kebajikan wanita Felcra tidak mengira usia, latar belakang dan juga status.

“Justeru, penubuhan Wadira itu berjaya mencapai matlamatnya apabila pertubuhan itu menjadi badan perantara di antara keluarga peserta dengan pengurusan Felcra Berhad dengan menyediakan pelbagai peluang dan bimbingan berdikari untuk me­ningkatkan pendapatan sampingan,” katanya.

Mengulas peranan Wadira pada masa akan datang, Najmil Faiz yakin Wadira mampu menonjolkan diri sebagai pertubuhan wanita yang berketrampilan khususnya dalam mengharu­ngi cabaran ekonomi masa kini.

Menurutnya, Wadira adalah lambang kejayaan pembangunan wanita Felcra yang legasinya akan berterusan selaras dengan kejayaan dan pembangunan ekonomi negara.

“Kemajuan arus ekonomi perlu bergerak seiring dengan Wadira bagi memastikan ia terus dinamik dalam memperju­angkan kepen­ti­ngan wanita Felcra,” kata beliau.

Wadira kini berjaya membantu ahlinya menambah pendapatan.

Najmil Faiz menegaskan Felcra Berhad sentiasa memainkan peranan penting kepada Wadira dengan menyalurkan bantuan modal dan peralatan untuk aktiviti ekonomi.

“Felcra memperuntukan bantuan pengubahsuaian bangunan dan pusat aktiviti ekonomi tidak lebih daripada RM15,000 selain menganjurkan kursus, latihan dan bengkel dalam usaha meningkatkan penge­tahuan ahli Wadira,” katanya. – MalaysiaGazette