Abdul Mutalib Alias

KUALA LUMPUR – Kerajaan terus kekal komited menyediakan peluang kepada semua golongan terutamanya kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan  berpendapatan sederhana (M40) memiliki rumah impian mereka.

Justeru itu, projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akan mengadakan Eskpo Jualan Perumahan bertemakan ‘Ke Arah Sejuta Impian’ yang turut menjadi pameran terbesar di Malaysia pada tahun ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias, ekspo siri jelajah yang akan diadakan di seluruh negara bermula 1 Mac depan, bakal memberi manfaat besar kepada golongan M40 serta B40.

“Selari dengan dasar kerajaan dengan Rancangan Malaysia ke-11, kita di PR1MA bersama-sama dengan agensi perumahan yang lain, kita akan bantu golongan ini mencapai impian memiliki rumah mampu mereka sendiri dengan kemampuan masing-masing.

“Projek perumahan PR1MA dibina di kawasan strategik di seluruh negara dan dijual pada harga antara RM65,000 hingga RM350,000. Kita mulakan siri jelajah kita di Perak bermula 1 hingga 3 Mac depan.

“Sebanyak 400,000 unit mengikut kemampuan masing-masing dengan harga antara RM65,000 sehingga RM350,000 akan di pamerkan sepanjang pameran di seluruh negara,

“Di Perak sahaja, kita jangka menjual sekurang-kurangnya 38,000 buah unit dengan tawaran rumah sebanyak 38,000 buah pada harga bermula RM70,000 hingga RM300,000 ke atas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media berkaitan Ekspo Perumahan PR1MA itu di sini hari ini.

Abdul Mutalib menambah, ekspo berkenaan yang diadakan buat julung kali itu juga akan menjadi ‘pusat sehenti’ bagi memudahkan pengunjung mendapatkan segala maklumat tentang projek rumah PR1MA yang sedang dan akan dibina.

“Pelbagai kerjasama akan dijalankan dengan agensi kerajaan, perumahan serta instuitusi kewangan bagi menjayakan ekspo ini sekaligus memudahkan pembeli untuk mencapai impian mereka untuk memiliki rumah sendiri.

“Memahami kesukaran pemohon rumah PR1MA, ekspo berkenaan akan disertai agensi seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Institusi perbankan seperti Maybank, CIMB, RHB dan Ambank akan turut serta untuk membantu pemohon menyemak kelayakan pinjaman untuk membeli rumah,” ujarnya.

Jelas beliau, ekspo jualan rumah akan berlangsung selama lima hari itu akan bermula pada Mac ini di Perak dan berakhir di Perlis pada hujung April nanti.

Ekspo itu juga akan memberi peluang kepada pembeli rumah berpotensi untuk membeli daripada agensi lain seperti Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Projek Perumahan Kakitangan Awam 1Malaysia (PPA1M) serta agensi daripada kerajaan negeri. – MalaysiaGazette