DUBAI – Bedah siasat ke atas mayat aktres Sridevi telah selesai dijalankan dan akan dibawa pulang dengan pesawat sewa ke India hari ini.
Sridevi, 54, meninggal dunia akibat serangan jantung secara tiba-tiba semasa menghadiri majlis perkahwinan anak saudaranya di Dubai.
Pegawai Emiriah Arab Bersatu berkata, mayat pelakon Bollywood itu tidak dapat diterbangkan semalam kerana laporan siasatan akhir yang dijalankan oleh polis hanya selesai pada lewat petang.
Sudah menjadi protokol, siasatan dan bedah siasat mengambil masa 24 jam terutama dalam kes-kes kematian di luar hospital.
Sridevi dilaporkan pengsan dalam bilik air dan dibawa ke Hospital Rashid, Dubai.
Sementara itu, adik iparnya, Sanjay Kapoor berkata, seluruh keluarga terkejut dengan kematian Sridevi kerana dia tidak mempunyai sejarah penyakit tersebut.
Katanya, Sridevi meninggal pada malam Sabtu kira-kira jam 11. – MalaysiaGazette