KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia akan terus mengalu-alukan pelaburan China, menyifatkan komuniti perniagaan China sebagai antara rakan kongsi dalam membina Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi dan berkemahiran tinggi di masa depan.

Perdana menteri berkata beliau tidak perlu meminta maaf bagi menyatakan perkara itu.

“Adalah kurang bijak dan tidak elok bagi rakyat Malaysia sekiranya kami menolak salam persahabatan yang dihulurkan – salam persahabatan yang Malaysia, di bawah pimpinan ayahanda saya Tun Razak, pertama kali tawarkan kepada China pada 1974, mencipta sejarah sebagai negara anggota ASEAN yang pertama menjalin hubungan diplomatik dengan China,” katanya.

Berucap pada majlis makan tengah hari Kerjasama Dua Hala Malaysia-China bersempena Tahun Baharu Cina di sini, hari ini, beliau berkata, “Kami akan terus mengalu-alukan anda, saya ingin beri jaminan kepada anda bahawa pelaburan anda di sini akan dilindungi dengan baik di bawah sistem undang-undang Malaysia dan kerajaan.”

Kerajaan bertindak betul pada waktu itu dan juga merupakan langkah betul untuk menyambut baik pelaburan China pada masa ini, katanya pada majlis anjuran Majlis Perniagaan Malaysia-China (MCBC), yang beliau merupakan penaungnya.

Najib memberikan contoh kira-kira 4,000 kerja baharu diwujudkan oleh Alliance Steel di Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan, dengan diumumkan sebelum ini bahawa 70 peratus daripadanya diperuntukkan kepada rakyat Malaysia.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Duta Besar China di Malaysia Bai Tian dan Pengerusi MCBC Tan Sri Ong Ka Ting.

“Jadi biar kita betul-betul jelas bahawa kerajaan ini amat mengalu-alukan kerjasama ini dan kekukuhan ikatan persahabatan ini. Kami menghargainya. Kerana kami tahu ia adalah baik untuk firma-firma dan pelabur-pelabur China dan ia baik untuk rakyat Malaysia, ” kata perdana menteri.

Ini, katanya selaras dengan sejarah Malaysia sebagai bangsa pelaut dan negara pedagangan, terbuka kepada dunia dan berpegang teguh pada kepercayaannya bahawa ia mahu membina hubungan dan bukannya menutup pintu kepada sahabatnya, yang bakal membawa kemakmuran kepada semua.

Menyatakan betapa gembiranya beliau melihat sejumlah besar usahawan China hadir pada majlis jamuan tengah hari itu, Najib berkata: “Kami ingin mengucapkan terima kasih atas pelaburan berterusan dan aktif anda di Malaysia sejak sekian lama.”

Perdana menteri berkata contoh keberhasilan kerjasama dan peningkatan hubungan antara rakyat dengan rakyat dapat dilihat dalam bidang seperti pendidikan dan pelancongan, dengan 1.89 juta pelancong China melawat Malaysia dari Januari hingga Oktober tahun lepas.

“Begitu juga, China ialah destinasi popular bukan sahaja kepada Cina Malaysia tetapi juga Melayu, berikutan terdapat banyak kemudahan mesra Muslim telah diwujudkan,” katanya dan menurutnya Malaysia akan menjana banyak peluang daripada Inisiatif Satu Jalur, Satu Jalan China yang berpotensi menjadi platform terbesar kerjasama ekonomi dunia.

Najib memberitahu hadirin bahawa amat menyedihkan apabila seorang bekas pemimpin Malaysia mahu menjejaskan hubungan itu.

“Setiap kali pelabur China masuk, beliau akan menuduh kerajaan ini menjual kedaulatan Malaysia kepada China. Atas asas itu, adakah kita menjual kedaulatan kita kepada Jepun semasa beliau berkuasa?

“Apa yang berlaku adalah kita masih mempunyai lebih banyak pelaburan dari Jepun daripada China dan Hong Kong untuk jangka panjang. Tetapi apa yang saya boleh katakan, kita masih sebuah negara berdaulat,” kata perdana menteri.

Malah, katanya, pelaburan Malaysia di China pernah lebih besar daripada pelaburan China di Malaysia tetapi ia tidak bermakna yang Malaysia membeli kedaulatan China.

“Sudah tentu tidak. Ini jelas tidak tahu tentang ekonomi – sesiapa yang menyatakan ini sebenarnya tidak mempunyai pengetahuan bagaimana cara ekonomi bekerja. Ia bertujuan untuk menakut-nakutkan bagi faedah kepentingan politik, kata Najib.

Najib menegaskan Malaysia mengalu-alukan pelaburan sama ada dari China, Jepun, India, Arab Saudi atau mana-mana daripada banyak negara yang mempunyai hubungan baik dengannya.

Beliau menyenaraikan syarikat dari China, Jepun, Amerika Syarikat dan Perancis yang telah menjalin hubungan atau telah memindahkan pejabat serantau mereka ke Kuala Lumpur.

Najib memberitahu hadirin tentang MoU kerjasama yang ditandatangani dengan SK Group, sebuah syarikat Fortune 100 dan konglomerat kedua terbesar dalam penguasaan pasaran di Korea Selatan, dan pengumuman oleh sebuah firma Switzerland yang bakal melabur RM12 bilion untuk kilang baharu di Pahang.

Apa yang penting ialah kita negara mesra pelaburan dan kerajaan mesra perniagaan, dan ini memberikan manfaat sebenar dan faedah nyata bagi Malaysia.

Ini merupakan satu daripada sebab kenapa pada 2009 kita mampu menyediakan 2.26 juta kerja baharu, inflasi dan kadar pengangguran rendah, dan mencatat pertumbuhan ekonomi sihat bertahun-tahun, katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast