KUALA LUMPUR – Skim perlindungan insurans bagi penggiat industri hiburan akan diperkenalkan dalam masa terdekat, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari.
Beliau berkata skim yang dikemukakan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) baru-baru ini, sedang dalam proses penelitian.
“Seniman sudah hantar kertas cadangan dan kementerian akan kaji perkara tersebut sama ada akan diberi dalam bentuk berkelompok atau pampasan (individu).
“Kita tahu penggiat seni tidak ada pekerjaan tetap dan bergantung kepada nyanyian (dan lakonan). Kita patut bantu golongan ini yang merupakan ikon masyarakat,” katanya selepas melawat penyanyi Saleem di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), di sini hari ini.
Saleem, 56, atau nama sebenarnya A M Salim Abdul Majeed yang merupakan vokalis kumpulan Iklim dibawa ke PPUKM pada Rabu lepas selepas mengalami sakit kepala kronik.- BERNAMA