Datuk Eric See-To. foto IQBAL BASRI, 20 JUN 2017

KUALA LUMPUR – Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BNSC), Datuk Eric See-To Choong tidak faham mengenai keterujaan pemimpin pembangkang selepas sebuah kapal layar mewah dirampas pihak berkuasa Indonesia semalam.

Choong berkata, beliau hairan kerana ia bukan kali pertama aset milik Jho Low dirampas, malah kapal layar yang dirampas itu juga bukan milik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atau pemimpin BN yang lain.

“Rampasan kapal layar nampaknya membuatkan penyokong pembangkang teruja, suatu yang saya tidak faham memandangkan ia bukan milik Najib, Rosmah (Datin Seri Rosmah Mansor), anaknya atau mana-mana pemimpin BN.

“Ini bukan kali pertama rampasan aset ke atas Jho Low. Sebelum ini lukisan dan kapal terbangnya juga dirampas. Jadi apa yang terujanya dengan rampasan satu lagi aset?” kata beliau dalam satu kenyataan di akaun Facebook hari ini.

Bagaimanapun, Choong menekankan tiada sebarang tindakan undang-undang diambil ke atas Jho Low walaupun sudah dua tahun lebih tindakan rampasan sebelum ini.

“Jika kamu mempercayai laporan DoJ (Jabatan Keadilan Amerika Syarikat) dan WSJ (Wall Street Journal), wang untuk membeli aset ini bukan datang secara langsung daripada 1MDB (1Malaysia Development Berhad) mahu pun 1MDB membayar secara langsung untuk membeli aset ini,” katanya lagi.

Oleh sedemikian, Choong berkata 1MDB tidak perlu bimbang dengan rampasan kapal layar tersebut memandangkan ia bukan sama sekali aset mereka.

“Maka, kapal layar atau aset-aset lain yang dirampas bukan aset 1MDB sama sekali dan 1MDB tidak membuat tuntutan terhadap semua aset itu. Jadi 1MDB tidak akan mengambil kisah sangat,” ujarnya.

Semalam, pihak berkuasa Indonesia merampas kapal Equanimity bernilai AS$260 juta (RM800 juta) yang didakwa dibeli oleh Jho Low.

Beliau disyaki DoJ sebagai dalang dalam skim untuk mencuri dari dana pelaburan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast