KUALA LUMPUR – Keseluruhan warga asal Pos Lemoi, Cameron Highlands menolak kehadiran parti pembangkang terutama DAP yang selama ini telah mengabaikan mereka dan hanya ‘muncul’ menjelangnya PRU-14.
Menurut Ketua Pemuda MyPPP, Sathiah Sudakaran, rata-rata 700 penduduknya dan seramai 206 daripada mereka pengundi melahirkan kemarahan mereka.
Jelas Sathiah, selepas PRU-13, para pemimpin dari parti pembangkang bukan sahaja tidak mempedulikan rakyat malah sebarang keluh kesah mereka juga dibiarkan begitu sahaja.
“Presiden kami, Tan Sri M. Kayveas yang telah mula bekerja di hampir semua kawasan di kerusi di sini sejak empat tahun lepas baru-baru ini telah mengambil inisiatif untuk melakukan kerja pembaikan jalan konkrit bagi memendekkan perjalanan dari satu jam 40 minit ke 40 minit sahaja dari jalan besar di Lembah Bertam.
“Bukan itu sahaja, kelmarin beliau mengadakan Program Sentuhan Kasih dan menjadikan penduduk kampung itu sebagai kampung angkat MyPPP dan segala permasalahan di kawasan itu kini menjadi ‘beban’ kami.
“MyPPP akan perjuangkan kepentingan masyarakat Pos Lemoi,” ujarnya lagi
“Penduduk di situ sangat terharu dengan kehadiran kami komponen Barisan Nasional, permintaan mereka untuk infrastruktur dan kemudahan dengan dunia luar dapat kami realisasikan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Program Sentuhan Kasih anjuran MyPPP Wilayah Persekutuan dengan kerjasama MyPPP Cameron Highlands telah menghimpunkan beberapa kampung Orang Asli di bawah satu bumbung di Pos Lemoi pada 3 dan 4 Mac lepas.
Antara program yang telah dijalankan termasuk kem kesihatan, pemberian cermin mata percuma, pertandingan bola sepak serta futsal, aktiviti sukaneka untuk kanak-kanak selain daripada makan malam ala barbeku.
“Masing-masing berikrar untuk tidak lagi mengundi pembangkang yang jelas hanya mempergunakan mereka untuk undi pada PRU sahaja. Sebarang projek pembangunan tidak dilakukan sebaliknya hanya janji-jani manis di janjikan saban kali.
Dalam pada itu, menurut Tok Batin Pos Lemai yang hanya mahu dikenali sebagai Zainal telah mempersoalkan pemimpin DAP yang telah ‘menghilang’ hampir lima tahun selain sering mengabaikan mereka selama ini.
“Selama ini, hanya Kayveas dari kerajaan BN yang turun membantu kami, mengapa baru kini DAP mahu menunjukkan muka mereka?” soalnya.- MalaysiaGazette