Jamal Abdillah dan isteri, Datin Zai Izzati Khiruddin.

BANGI – Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah, 59, akhirnya memperkenalkan isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin kepada media selepas 11 bulan mendirikan rumah tangga,

Jamal mendedahkan, beliau terpikat dengan berkeperibadian lembut Izzati dan menyifatkan wanita berusia 24 tahun itu sebagai peneman setia hidupnya sekarang.

“Dia anugerah terindah daripada Tuhan,” katanya pada sidang media mengumumkan persembahan istimewa sempena minggu setiausaha bersama Dayang Nurfaizah pada 25 April depan, di sebuah hotel di Bandar Baru Bangi, di sini semalam

Jamal dan Izzati yang berasal dari Kulim, Kedah, bernikah di Ipoh, Perak pada 1 April tahun lalu.

Bercerita lebih lanjut mengenai perkahwinannya, Jamal memberitahu, biarpun jodoh diatur keluarga dengan jarak perbezaan usia 35 tahun, Izzati cukup disayangi dan dihargainya.

Tambah Jamal, mereka hanya berkawan dua bulan sebelum berkahwin.

“Itu pun kami hanya berjumpa sekali saja sebelum bernikah. Ini kerana kami sibuk membuat persediaan bernikah,” katanya.

Akui Jamal, selain keperibadian isteri yang lembut, anak-anak yang senang dengan wanita itu membuatkan dirinya yakin Izzati adalah pilihan tepat.

Ini adalah perkahwinan keempat buat penyanyi lagu Kekasih Awal dan Terakhir ini. Sebelum ini, Jamal berkahwin dengan Basariah Abdul Latiff, Noraina Mohd Yusof dan Fatimatuzahrah Samad.

Jamal mempunyai dua anak lelaki iaitu Osama Yamani, 17, hasil perkahwinannya dengan Noraina dan Ahmad Zaki Yamani, 11, daripada isteri ketiganya, Fatimatuzahrah.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast