Skrin besar digunakan semasa Tayangan Perdana Sedunia Filem Lee Chong Wei di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 09 MAC 2018

KUALA LUMPUR – Lebih 20,000 penonton hadir menontin tayangan perdana filem Lee Chong Wei di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam ini.

Filem berkenaan ditayangkan di dalam stadium menggunakan layar gergasi LED berukuran 40 meter x 17 meter sekali gus menjadikannya sebagai majlis tayangan perdana filem terbesar di Malaysia.

Malah tayangan itu turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Record sebagai tayangan perdana filem bukan sahaja pertama di Malaysia namun Asia Tenggara.

Pelakon yang memegang watak Lee Chong Wei semasa remaja, Tosh Shan (kiri) dan watak Lee Chong Wei semasa budak, Jake Eng (kanan), turut diiring pelakon memegang watak Wong Mew Choo, Ashley Hua (tengah) ketika hadir Tayangan Perdana Sedunia Filem Lee Chong Wei di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 09 MAC 2018

Filem arahan Teng Bee itu mengisahkan kehidupan awal Chong Wei yang penuh liku sehingga menjadi pemain badminton nombor satu dunia.

Lebih menarik, hadirin yang hadir menjadi penonton pertama melihat tayangan sulung filem versi tambahan berdurasi 133 minit itu.

Skrin besar digunakan semasa Tayangan Perdana Sedunia Filem Lee Chong Wei di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 09 MAC 2018

Malah, Chong Wei juga buat pertama kali menyaksikannya bersama penonton yang hadir.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Beliau dalam ucapan ringkas menyifatkan Chong Wei sebagai atlet luar biasa di negara ini.

“Chong Wei pernah beritahu semua pemain badminton di negara semua sama sahaja namun yang membezakan mereka adalah kerja keras dan tidak putus asa,” katanya.

Dalam majlis berkenaan, peminat juga menyaksikan acara karpet sepanjang 100 meter yang mengalu-alukan kedatangan jaguh-jaguh badminton tanah air, para pelakon filem ini serta tetamu selebriti.

Pihak penganjur turut menjemput skuad badminton negara yang menjuarai Piala Thomas 1992 ke acara penuh bermakna ini.

Selain itu, penonton juga akan dihiburkan dengan persembahan penyanyi yang menyanyikan lagu-lagu tema filem itu.

Sementara itu, suasana meriah mula dirasai apabila terdapat 10 gerai penaja disediakan di dalam Stadium Nasional dan pintu stadium yang dibuka pada pukul 4 petang. – MalaysiaGazette