KUALA NERANG – Kementerian Pendidikan mengesahkan terdapat kecuaian pada kontraktor pembersihan dan pengurusan sekolah dalam insiden seorang pelajar maut terkena bilah mesin pemotong rumput di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman, Gemas, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata laporan penuh daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan telah diterima selepas siasatan dalaman dilakukan bagi mencari punca kejadian yang berlaku 13 Febuari yang lalu.

“Saya sudah baca laporan itu dan saya sahkan memang berlaku kecuaian di pihak kontraktor pembersihan dan pengurusan sekolah.

“Polis sedang jalankan siasatan lanjut dalam kes ini, mana kala bagi pihak kementerian tindakan dalaman terhadap pengurusan sekolah sedang diambil mengikut peraturan sedia ada” katanya selepas merasmikan Karnival Jualan Sentuhan Rakyat dan program bersama Usahawan Mikro Amanah Ikhtiar di Pusat Komuniti Cikgu Hashim, Barokhas, Padang Terap.

Beliau berkata demikian bagi mengulas perkembangan kes Nur Afini Roslan, 14, yang maut selepas bilah mesin potong rumput terpelanting dan terkena kepalanya, manakala dua lagi pelajar Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13, cedera di bahagian belakang kepala dan Abdullah Hazlan, 14, cedera pada bahagian telinga kanan.

Kejadian jam 10.30 pagi itu, berlaku di padang sekolah ketika menjalani latihan perbarisan untuk program hari sukan sekolah itu.-MalaysiaGazette