PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan mengeluarkan kenyataan penuh berhubung tindakan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus terhadap barangan import dari Malaysia pada sidang Parlimen, 5 Mei ini.
Beliau berkata, ketika ini Bank Negara Malaysia (BNM) sedang meneliti mengenai gelombang tarif baharu itu kerana levi tersebut diragui banyak negara termasuk China.
“Terdapat semakan antarabangsa untuk dunia, untuk negara lain termasuk China dan kebanyakan negara ragu-ragu.
“BNM, mereka lihat dan semak dan saya akan umumkan, saya akan beri kenyataan penuh di Parlimen pada 5 Mei,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri di Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM), di sini, hari ini.
Sebelum ini, AS mengenakan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus terhadap barangan import dari Malaysia.
Tarif baharu itu diumumkan Presiden AS, Donald Trump, pada 3 April lalu mengenai gelombang tarif baharu sebagai sebahagian daripada langkah perdagangan global.
Menurutnya, kadar tarif tinggi turut dikenakan terhadap beberapa negara lain yang berdagang dengan AS.
Kemboja dikenakan tarif sebanyak 49 peratus; Laos, 48 peratus dan Myanmar, 44 peratus. – MalaysiaGazette