Sallehen Mukhyi

KUALA LUMPUR – Pas Selangor mendakwa mereka berhak untuk menghantar surat kepada Sultan Selangor bagi mengadu ketakadilan dalam pembahagian peruntukan kawasan yang tidak diberikan kepada ADUN Pas di negeri tersebut.

Pesuruhjayanya, Sallehen Mukhyi berkata, ia bukan menjadi suatu kesalahan untuk menghantar surat tersebut memandangkan tuanku adalah payung kepada rakyat dan aduan tersebut dibuat kerana hak mereka dinafikan.

“Kita hantar surat sekadar untuk memaklumkan pada tuanku apa yang berlaku kerana tuanku ialah payung keadilan kepada rakyat.

“Pada siapa lagi kita nak mengadu dan cerita yang betul apa yang berlaku, kerana sebelum ini apa yang dikatakan sangat tak tepat,” beliau dipetik berkata.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membidas tindakan Pas itu dengan mendakwa tindakan mengheret istana Selangor dalam isu peruntukan dengan kerajaan negeri merupakan penghinaan kepada institusi diraja itu.

Bagaimanapun, Sallehen yang juga ADUN Sabak berkata, pihaknya tidak akan merayu lagi kepada kerajaan negeri untuk mendapatkan peruntukan tersebut.

“Sebenarnya niat dia memang tak nak beri peruntukan pada kita dan Pas juga tidak akan merayu. Nak beri, beri. Duit bukan boleh jinak hati manusia. Kita bergantung pada Allah,” katanya. – MalaysiaGazette