Home Uncategorized Belian asing RM141.2j minggu lalu

Belian asing RM141.2j minggu lalu

Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Pelabur asing meningkatkan pegangan mereka dalam ekuiti tempatan secara perlahan-lahan selepas seminggu dipengaruhi pasaran modal global.

Berdasarkan data awal, jumlah belian ekuiti pelabur asing minggu lalu berjumlah RM141.2 juta.

MIDF Amanah Investment Bank Berhad dalam nota mingguannya berkata, kemuncak belian pelabur asing pada hari Isnin dengan RM279.2 juta, aliran masuk bersih tertinggi dalam sehari sejak 23 Januari lalu yang membawa keuntungan harian besar kepada FBM KLCI dalam 15 hari urus niaga sebanyak 0.94 peratus.

Sentimen pada hari itu di dorong oleh kebimbangan kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat pada tahun ini, di tengah-tengah peningkatan pekerjaan, ditambah dengan pertumbuhan gaji yang perlahan.

FBMKLCI naik 0.15 peratus kepada 1,864 mata pada keesokan hari dengan aliran masuk sebanyak RM122.9 juta.

Bagaimanapun, pasaran pada hari Rabu negatif, akibat terkesan dengan keputusan Presiden Donald Trump yang memecat Setiausaha Negara, Rex Tillerson.

Pergolakan politik di Amerika Syarikat mendorong pelabur-pelabur beralih ke aset selamat menyebabkan aliran keluar sejumlah RM11.5 juta, menurut MIDF Research.

Firma penyelidikan itu menambah, pelabur asing melupuskan sejumlah RM22 juta pada hari Khamis ekoran kebimbangan isu dagangan Amerika Syarikat-China, turut mengakibatkan FBM KLCI susut ke paras terendah sepanjang minggu kepada 1,845 mata.

Trump telah menggesa China mengurangkan lebihan dagangannya dengan Amerika Syarikat sebanyak RM100 bilion.

Jualan asing terus dipergiatkan pada hari Jumaat dengan jumlah -RM227.5 juta bersih menjelang mesyuarat dasar monetari Rizab Persekutuan pada minggu ini.

Setakat ini, pelabur asing mengumpul ekuiti tempatan sebanyak RM2.05 bilion.

Manakala aliran keluar direkodkan sebanyak RM207.4 juta berbanding RM4.37 bilion aliran masuk bersih pada bulan Mac 2017 berikutan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14.

MIDF Research berkata, nilai purata dagangan harian asing (ADTV) meningkat sebanyak 46 peratus kepada RM1.64 bilion, menjadikan minggu ke-11 melepasi RM1 bilion.

Manakala penyertaan runcit kekal melebihi RM1 bilion bagi minggu keempat berturut-turut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast