Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A. Thaiveegan menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas di dalam sebuah kondominium yang dijadikan makmal memproses dadah di Pulau Pinang dalam sidang akhbar pagi ini.

PULAU PINANG – Negeri ini terus menjadi lubuk kepada `tokan’ dadah sebagai pusat operasi selepas sebuah lagi kondominium yang dijadikan makmal memproses dadah dilumpuhkan polis Isnin lalu.

Dalam serbuan di sebuah kondominium di Greenlane, Georgetown itu, polis merampas pelbagai jenis dadah serta bahan kimia bagi memproses bahan terlarang itu bernilai kira-kira RM3 juta.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A.Thaiveegan berkata, ketika serbuan dilakukan, polis turut berjaya menahan tiga lelaki berusia antara 22 hingga 55 tahun dipercayai anggota sindiket terbabit yang berada di dalam kondominium tersebut.

Turut ditahan, ujarya, seorang lelaki berusia 55 tahun yang dipercayai  dalang utama sindiket itu yang datang ke kondominium terbabit dipercayai untuk mengambil dadah yang siap diproses kira-kira pukul 7.30 malam.

“Hasil pemeriksaan mendapati rumah itu dijadikan makmal untuk memproses syabu dan pil ekstasi.

“Antara dadah yang dirampas ialah 590 biji pil ekstasi, 144 gram(g) heroin, tiga balang kaca berisi syabu seberat 128g serta minyak methamphetamine sebanyak 52.65 liter,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Thaiveegan, siasatan awal mendapati kondominium itu sudah dijadikan makmal memproses dadah sejak enam bulan lalu.

Tambahnya, sindiket berkenaan dipercayai mendapatkan bekalan untuk memproses dadah di pasaran tempatan dan syabu serta pil esktasi yang dihasilkan juga adalah bagi pasaran tempatan selain dijual di Kedah, Perak dan Perlis.

Tambahnya, kesemua suspek turut mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah dan kondominium yang dijadikan makmal dadah itu juga adalah milik salah seorang daripada mereka.

“Kita juga percaya ada ahli sindiket ini yang masih bebas dan usaha memburu mereka kini sedang digerakkan secara besar-besaran.

“Kesemua suspek yang ditahan pula direman selama tujuh hari dan siasata dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette