Ali Tinju

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pembela Nasib Melayu Malaysia dan Media Tentera Rakyat menyatakan kesediaan membangah demonstrasi Bersih yang akan diadakan di perkarangan Parlimen pagi esok.

Presidennya, Mohd. Ali Baharom atau lebih dikenali sebagai Ali Tinju berkata, pihaknya yang konsisten ‘menentang’ aktiviti Bersih tidak mahu melihat sahaja tindakan NGO berkenaan mengkritik kerajaan.

“Kami sebagai NGO yang menjunjung kepimpinan kerajaan sedia ada akan turun seramai mungkin pagi esok dan mahu ahli-ahli Bersih dan pemimpin pembangkang diambil tindakan.

“Kami akan datang pakai baju merah sebagai tanda sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,” ujarnya malam tadi.

Sebelum itu, pimpinan Pakatan Harapan dan Bersih dikatakan akan berkumpul di perkarangan Parlimen esok bagi menghalang pembentangan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Dalam pada itu, Ali Tinju berkata, rancangan Bersih 2.0 untuk berhimpun di luar bangunan Parlimen esok disifatkan satu tindakan yang bertujuan memburukkan imej Malaysia di mata dunia.

Pihaknya mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas sekiranya mereka melakukan demonstrasi.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) Halim Ishak menempelak tindakan demonstrasi Bersih yang padanya hanya mahu menarik perhatian media asing memburuk-burukkan Malaysia.

“Penganjuran sebarang demonstrasi hanya akan menarik perhatian wartawan asing untuk membuat liputan aktiviti berkenaan dan sekali gus memberi laporan yang berat sebelah.

“Malah mereka merakam gambar-gambar atau visual-visual negatif sepanjang demonstrasi berlangsung semata-mata untuk memburuk-burukkan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengingatkan masyarakat agar menggunakan saluran betul bagi menyuarakan pendapat atau pandangan masing-masing termasuklah menerusi pengundian bagi memilih kerajaan pada pilihan raya umum ke-14 tidak lama lagi.-MalaysiaGazette