Home Dunia Pintu keluar disekat, sistem penggera ditutup

Pintu keluar disekat, sistem penggera ditutup

Pusat beli-belah Winter Cherry yang terbakar hingga mengorbankan sekurang-kurangnya 64 orang mangsa. foto Agensi

MOSCOW – Penyiasat dan saksi-saksi mendakwa sistem penggera tidak berfungsi dan jalan keluar gedung beli-belah yang terbakar di Seberia telah disekat ketika kebakaran berlaku.

Kebakaran itu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 64 orang dan majoriti mangsa adalah kanak-kanak.

Sebanyak 10 orang masih dilaporkan hilang.

Jawatankuasa Penyiasatan Rusia menyifatkan sekatan laluan keluar merupakan pelanggaran undang-undang yang serius berlaku di pusat membeli-belah Winter Cherry itu.

Kebakaran yang berlaku pada hari Ahad bermula di tingkat atas semasa kedai-kedai, pawagam dan lorong-lorong di pusat membeli-belah itu dipenuhi orang ramai.

Jawatankuasa Siasatan berkata, juruteknik keselamatan kebakaran di pusat beli-belah itu telah menutup sistem penggera selepas memberi amaran mengenai kejadian kebakaran.

Sehubungan itu, dua daripada pegawai keselamatan kebakaran telah ditahan untuk siasatan serta pengarah teknikal gedung beli-belah Winter Cherru dan pengurus sebuah kedai yang dipercayai menjadi punca kebakaran.

Media-media Rusia melaporkan kebanyakan bumbung runtuh akibat kebakan itu.

Kebakaran dikatakan berlaku dari bilik trampolin kanak-kanak dan pawagam yang berada di tingkat empat.

Punca kebakaran belum diketahui.

Bomba berkata, bangunan itu masih mengeluarkan asap selepas sehari kebakaran berlaku dan struktur bangunan berisiko runtuh. – MalaysiaGazette