KUALA LUMPUR – Polis memberi amaran kepada mana-mana penganjur supaya membatalkan rancangan untuk berhimpun di depan Parlimen esok.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap kumpulan yang berdegil kerana perhimpunan yang dirancang itu dibimbangi akan berlaku pertembungan antara dua kumpulan.

“Setakat ini, kita tidak mengeluarkan sebarang permit kepada mana-mana pihak yang memberi kebenaran untuk mengadakan perhimpunan, malah sehingga saat ini tiada permohonan permit dilakukan.

“Bagaimanapun, polis sentiasa bersedia bagi menangani sebarang insiden yang boleh menggugat keselamatan dan pergerakan lalu lintas, penugasan serta pergerakan anggota sudah disusun,” beliau dipetik berkata hari ini.

Terdahulu, NGO pembangkang, Bersih 2.0 merancang untuk mengadakan perhimpunan di hadapan bangunan Parlimen esok untuk menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Memorandum itu adalah bagi membantah cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Susulan itu, Presiden Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos, dilaporkan akan mengerahkan sehingga 10,000 ahli Gerakan Baju Merah turun ke pekarangan Bangunan Parlimen bagi menghalang Bersih 2.0 melakukan perhimpunan berkenaan.

Mazlan menasihati agar kedua-dua kumpulan tersebut supaya tidak mencetuskan kekacauan sehingga menjejaskan keselamatan dan mahu rancangan tersebut dibatalkan serta-merta.

“Kita menasihati pihak yang berkenaan, janganlah mengadakan perhimpunan, janganlah cuba mencetuskan kekacauan sehingga mendatangkan kemudaratan kepada keselamatan, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang masih berdegil,” katanya. – MalaysiaGazette