BAITULMAQDIS – Mahkamah Israel terus berdolak dalih dan ‘sengaja’ menangguhkan pembebasan bersyarat selama dua hari terhadap pejuang Masjid al-Aqsa, Sheikh Raed Salah.

Peguam Sheikh Raed, Khalid Zabarqeh berkata, mahkamah rejim berkenaan membenarkan lanjutan tempoh itu dengan alasan menunggu laporan daripada perkhidmatan penjara, lapor portal Voice of Palestine.

“Mahkamah memberikan alasan terpaksa menunggu laporan bertulis daripada penjara Israel berhubung gelang elektronik yang akan dipakai Syeikh Raed apabila dibebaskan kelak.

“Walaupun pelik kita percaya semua ini sengaja diadakan bagi membeli masa untuk pembebasan Sheikh Raed ketika ini. Kita tunggu dan lihat sebelum bertindak,” katanya kepada pemberita hari ini.

Awal bulan ini, Mahkamah Majistret Israel di Haifa mengumumkan pembebasan Syeikh Raed Salah yang juga dikenali sebagai ‘Syeikh al-Aqsa’, namun bersyarat.

Syeikh Raed Salah ditahan di rumahnya di kampung Umm Al-Fahm pada Ogos lepas.

Beliau didakwa atas kesalahan menghasut kepada keganasan, sebelum depenjarakan.

Pada Februari lepas, mahkamah memerintahkan Syeikh Raed untuk menjalani hukuman tahanan dalam rumah selama enam bulan.

Beliau merupakan salah seorang pejuang aktif Palestin yang giat menyingkirkan langkah-langkah keselamatan kontroversi Israel terhadap tapak suci al-Aqsa. – MalaysiaGazette