KUALA LUMPUR – Keuntungan bersih Astro Malaysia Holdings Bhd untuk suku keempat berakhir 31 Jan 2018 naik kepada RM180.6 juta daripada RM143 juta yang direkodkan dalam suku yang sama tahun sebelum ini.

Pendapatan bagi suku berkenaan, bagaimanapun, menurun kepada RM1.38 juta daripada RM1.39 juta.

“Perolehan yang lebih rendah itu adalah disebabkan oleh penurunan dalam hasil langganan, ia diimbangi oleh peningkatan jualan dagangan, pengiklanan dan hasil produksi,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Astro ketika bercakap mengenai prospek, memberitahu tahun kewangan seterusnya akan membawa beberapa acara sukan utama dan dijangkakan kos kandungan akan meningkatkan.

“Kami terus menjadi pilihan bagi rancangan sukan dan akan menguruskan kos kandungan dengan memakai dasar lindung nilai kami yang konservatif sambil mengoptimumkan kos lain untuk terus memberikan perkhidmatan kepada pelanggan,” katanya, dan menambah bahawa kumpulan akan terus menjana tunai dan memberi tumpuan pelaburan kepada strategi pertumbuhannya.-BERNAMA