Sapura
Presiden dan CEO Sapura Energy Bhd., Tan Sri Shahril Shamsuddin.

KUALA LUMPUR – Sapura Energy Bhd. mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM2.29 bilion pada suku keempat berakhir 31 Januari 2018 susulan caj rosot nilai sebanyak RM2.1 bilion dari segmen kejuruteraan dan pembinaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Shahril Shamsudin berkata, ini menyebabkan kerugian bersih bagi setahun penuh kepada RM2.5 bilion berbanding keuntungan bersih RM208.32 juta bagi tahun kewangan 2016.

Jumlah keseluruhan perolehan bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2018 turut menyusut kepada RM5.89 bilion berbanding RM7.65 bilion tahun sebelumnya.

“Kumpulan telah menilai semua aspek bersandarkan kepada perubahan pasaran dan melihat penilaian rosot nilai sebagai satu amalan industri yang sihat.

“Rosot nilai yang direkodkan tidak mempunyai impak kepada tunai, menyebabkan asas aset yang lebih kecil dengan mengurangkan jumlah keseluruhan nilai serta caj penyusutan pelantar minyak pada masa hadapan,” katanya.

Tambahnya, industri telah menyaksikan pemulihan apabila harga minyak mentah semakin meningkat, menyebabkan aktiviti membida dan penerimaan kontrak bagi segmen perkhidmatan kumpulan.

Dalam tempoh dua bulan lalu, Sapura Energy telah memperolehi tempahan baharu dalam segmen perkhidmatan bernilai RM27 bilion.

Ini bakal mengukuhkan kedudukan buku tempahan yang akan memberi sumbangan kepada perolehan bagi tahun kewangan 2019. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast