Arkib Pengerusi DRB-Hicom, Tan Sri Khamil Jamil.

KUALA LUMPUR – DRB-HICOM Bhd. mengumumkan peletakan jawatan Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Khamil Jamil berkuatkuasa 1 April ini.

Dalam kenyataannya di sini hari ini, DRB-HICOM berkata, mereka akan mencari calon yang sesuai untuk menggantikan tempat Khamil yang telah berkhidmat sebagak Pengarah Urusan kumpulan selama 10 tahun sebelum mengambil alih jawatan sebagai pengerusi pada 1 Mac 2016.

” Tan Sri Khamil adalah tonggak kepada kumpulan DRB-HICOM dan di bawah kepimpinannya, beliau berjaya meluaskan perniagaan kumpulan kepada pelbagai aspek pertumbuhan.

“Pandangan jauh beliau telah berjaya menyaksikan pengambilan alih sektor pos dan logistik seperti Pos Malaysia Bhd. dan Pos Logistik Bhd.

“Wawasan ini berjaya menyaksikan pertumbuhan e-dagang yang memberi manfaat kepada Pos Malaysia,” kata Pengarah Urusan Kumpulan, Syed Faisal Albar yang mewakili ahli lembaga pengarah DRB-HICOM.

Selain Pos Malaysia, Khamil juga bertanggung jawab terhadap pengambilan alih syarikat aeroangkasa, Composite Technology Research Malaysia Sdn. Bhd  (CTRM) dan memuktamadkan pencarian rakan strategik Proton Holdings Bhd. – MalaysiaGazette