Home Ekonomi MGT sedia lebih 5,000 pemimpin global

MGT sedia lebih 5,000 pemimpin global

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL, Datuk Zainal Amanshah (kiri) meluangkan masa melawat gerai pameran yang terdapat pada InvestKL Annual Ministerial Event 2018 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 29 MAC 2018

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak berpendapat masih banyak ruang lagi untuk syarikat multinasional memperkukuhkan penglibatan bersama bakat dan syarikat tempatan negara ini pada masa depan.

Perdana Menteri berkata, sebagai contoh, program Bakat Global Malaysia (MGT) mampu menyediakan 5,500 pemimpin global negara pada 2022.

Jelas beliau, pada fasa pertama, MGT akan bekerjasama dengan 12 syarikat multinasional utama global dan 10 universiti awam menerusi satu tujuan untuk melahirkan pemimpin masa depan.

“Menerusi siri ini, inisiatif melibatkan pertukaran, pinjaman, latihan praktikal, mentor dan syarahan awam oleh Ketua Pegawai Eksekutif syarikat multinasional, MGT menyasarkan untuk mencipta peluang buat bakat muda Malaysia bagi mendapat kemahiran dan latihan terbaik global.

“Ini akan membantu memberi inspirasi dan memupuk pemimpin mendepani ekonomi yang sedang dibangunkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Tahunan InvestKL Peringkat Menteri di Pusat Pameran dan Persidangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Pada majlis, beliau turut merasmikan program MGT merupakan kerjasama TalentCorp dan InvestKL serta disokong oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.

Sementara itu, Najib yakin program MGT mampu memacu ke arah penubuhan pusat kecemerlangan bertaraf dunia yang pelbagai berikutan kolaborasi antara pihak industri dan akademik. – MalaysiaGazette