Home Dunia Trump mahu AS keluar dari Syria

Trump mahu AS keluar dari Syria

Donald Trump
Donald Trump

FLORIDA – Presiden Donald Trump mahu pasukan tentera Amerika Syarikat keluar dari Syria.

Perkara itu dimaklumkan Trump kepada penasihatnya.

Bagaimanapun, dua pegawai pentadbirnya menentang cadangan itu kerana ia akan memperlihatkan perjuangan Amerika Syarikat menentang IS tidak lengkap.

Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara ditetapkan untuk awal minggu depan untuk membincangkan kempen yang diketuai Amerika Syarikat di Syria.

Dua pegawai pentadbiran lain mengesahkan laporan Wall Street Journal pada hari Jumaat yang mengatakan Trump telah memerintahkan Jabatan Negara membekukan dana lebih daripada AS$200 juta yang diperuntukan untuk pemulihan di Syria.

Malah pentadbiran Trump akan menilai semula peranan Washington dalam konflik di sana.

Trump menyeru pembekuan itu selepas membaca laporan berita bahawa Amerika Syarikat baru-baru ini telah menambah sejumlah AS$ 200 juta untuk pemulihan kawasan yang ditawan semula dari IS.

Pembiayaan itu diumumkan oleh bekas Setiausaha Negara, Rex Tillerson pada bulan Februari lalu semasa pertemuan di Kuwait.

Keputusan untuk membekukan dana itu adalah sejajar dengan perisytiharan Trump semasa ucapan di Richfield, Ohio, pada hari Khamis lalu, yang mana beliau berkata sudah tiba masanya untuk Amerika keluar dari Syria.

“Kami akan keluar dari Syria. Biar orang lain menguruskannya. Tidak lama lagi, tidak lama lagi kami akan keluar,” ujarnya.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara White House berkata, selaras dengan arahan presiden, Jabatan Negara sentiasa menilai semula tahap bantuan yang sesuai dan cara terbaik mereka boleh digunakan dan lakukan secara berterusan. – MalaysiaGazette