KANGAR, 1 April -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada majlis pelancaran Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional Negeri Perlis di Dewan Wawasan 2020 hari ini. --fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

KANGAR – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tidak terpilih atau terpilih semula sebagai calon pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) adalah lumrah pada setiap kali pilihan raya umum.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden yang menjalankan kerja timbalan presiden UMNO berkata pemimpin parti yang tidak terpilih atau terpilih semula sebagai calon perlu menerima hakikat itu dan hendaklah mengukuhkan barisan bagi memastikan Barisan Nasional (BN) menang besar pada PRU14.

“Walaupun lumrah yang tidak terpilih akan kecewa… saya minta ketepikanlah kekecewaan itu,”kata Ahmad Zahid yang juga timbalan pengerusi BN sewaktu berucap melancarkan jentera PRU BN Perlis di Dewan 2020 di sini, hari ini.

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim antara lebih 5,000 orang yang hadir pada majlis itu.

Ahmad Zahid berkata BN perlu menang dua pertiga kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan yang kuat dan oleh itu anggota dan pemimpin UMNO perlu mengambil iktibar BN hampir kecundang pada PRU13 setelah diuji Allah S.W.T pada PRU12 dan PRU11.

Beliau berkata sebarang masalah remeh-temeh hendaklah diketepikan kerana gendang pilihan raya akan dipalu pada bila-bila masa sahaja.

“Saya sendiri pun tidak akan tongkat langit tetapi selagi diberikan mandat dan amanah akan saya laksanakan,” kata Ahmad Zahid sambil menasihatkan mereka yang tidak terpilih sebagai calon supaya terima hakikat biar pun pedih.

Berhubung Perlis, beliau berkata dengan kedudukan BN Perlis yang mantap sekarang seharusnya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang dan DUN Indera Kayangan akan dapat ditawan daripada pembangkang di samping mengekalkan ketiga-tiga kerusi Parlimen.

Ahmad Zahid turut mengumumkan Padang Besar dijadikan sebagai hab logistik negara.

“Saya juga dengar titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang mahu kerajaan membuka semula laluan bebas Wang Kelian supaya rakyat negeri ini dapat mencari makan selain menjana ekonomi negeri.

“Kerajaan tiada masalah dalam perkara ini,” katanya yang disambut tepukan gemuruh hadirin.

Ahmad Zahid berkata kerajaan bagaimanapun perlu membuat kajian kebolehlaksanaan terlebih dahulu bagi cadangan Kuala Perlis dibangunkan sebagai pelabuhan.

Terdahulu, Shahidan dalam ucapan aluannya meminta kerajaan pusat menimbangkan untuk memberi kelulusan bagi tiga perkara itu.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri kemudian melawat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis dan menghadiri mesyuarat tertutup.-BERNAMA