SYDNEY – Tesla Inc. mengesahkan pemandu Model X meninggal dunia dalam satu kemalangan ngeri minggu lalu selepas menggunakan mod pemanduan auto (auto pilot) bagaimanapun mempertahankan rekod keselamatan sistem bantuan pemanduan itu adalah baik.

Log komputer yang diperoleh daripada pemanduan Tesla oleh Wei Huang, 38, menunjukkan dia tidak memegang stereng selama enam saat sebelum kenderaan utiliti sukan (SUV) itu terbabas di sebuah lebuh raya di California dan kemudiannya terbakar pada 23 Mac lalu.

“Pemandu menerima beberapa amaran visual dan satu amaran suara sebelum memandu.

“Pemandu mempunyai kira-kira lima saat dan pandangan tidak terhalang sejauh 150 meter daripada pembahagi jalan tetapi log kenderaan menunjukkan tiada tindakan diambil (untuk mengelakkan kemalangan),” kata Tesla dalam satu posting dalam sebuah blog syarikat yang diterbitkan pada Jumaat.

Kemalangan tersebut berlaku beberapa hari selepas kenderaan tanpa pemandu Uber Technologies Inc terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan kematian seorang pejalan kaki di Arizona.

Penguat kuasa keselamatan pengangkutan Amerika Syarikat pada Selasa berkata, ia akan menyiasat insiden yang melibatkan Model X, sekaligus menyebabkan Tesla kerugiaan lebih AS$5 bilion nilai pasaran tahun ini.-MalaysiaGazette