Kerajaan Malaysia bertindak tegas mendepani isu pelarian Rohingya, dengan menghantar mereka ke Bangladesh dan negara ketiga yang menandatangani Konvensyen Pelarian 1951.-Gambar hiasan.

ALOR SETAR – Seramai 56 orang pelarian Rohingya diselamatkan di perairan Langkawi kira-kira jam 9 pagi tadi oleh pihak berkuasa Malaysia dan mereka kini diberikan bantuan makanan dan perubatan.

Pelarian Rohingya diselamatkan di perairan Langkawi kira-kira jam 9 pagi tadi oleh pihak berkuasa Malaysia. Pic Maritim Malaysia

Bot pelarian ditemui kira 0.1 batu nautika Pulau Nyior Setali hasil rondaan Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin dan Tentera Laut Diraja Malaysia.

Pengarah Maritim Wilayah Utara, Laksamana Pertama Maritim Haji Rozali b. Mohd Said berkata, terdapat 19 lelaki dewasa, 17 perempuan dewasa, 12 kanak-kanak perempuan, dan 8 kanak-kanak lelaki berada di atas bot berkenaan.

Bantuan awal seperti makanan, minuman serta perubatan yang diperlukan diberikan kepada pelarian yang berada atas bot tersebut.

Bot tersebut kemudiaan dibawa ke Jeti Kuala Kedah untuk diserahkan kepada Jabatan Imigresen Kedah bagi proses selanjutnya mengikut prosedur kemasukan ke negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.

“Maritim Malaysia amat memandang serius terhadap isu pencerobohan di seluruh perairan Malaysia, namun atas dasar kemanusiaan, pelarian tersebut tetap diberi layanan baik dengan memberi makanan, minuman dan perubatan,” kata Maritim Malaysia dalam satu kenyataan Maritim Wilayah Utara. – MalaysiaGazette