KUALA LUMPUR – Sepandai-pandai parti komponen Pakatan Harapan (PH) seperti PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (PAN) pandai dan bijak lagi parti DAP dalam menipu kawan.
Ini berkenaan dengan persetujuan pimpinan tertinggi empat parti gabungan itu untuk menggunakan lambang atau logo PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini termasuk DAP.
Bagaimanapun, dalam diam-diam DAP cuba mengingkari persetujuan itu apabila mereka kekal menggunakan lambang roket di Sabah dan Sarawak serta hanya di Semenanjung sahaja lambang parti itu ‘dialmarikan’.
“Nampak sangat DAP cuba bermain wayang dengan rakan gabungannya. Parti pimpinan Lim Kit Siang dan anaknya Lim Guan Eng sanggup buat penyamaran sebab hendak perdaya pengundi Melayu kononnya DAP sudah tidak ada di Semenanjung lagi
“Tetapi, pada masa sama DAP tetap menggunakan lambang roket di Sabah dan Sarawak,” kata satu sumber kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.
PH dalam mesyuaratnya kelmarin mencapai kata sepakat untuk menggunakan satu logo iaitu lambang milik parti PKR bagi menghadapi PRU ini berikutan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) membatalkan sementara penubuhan PPBM.
Menurut sumber, untuk berkuasa, DAP sanggup melakukan apa sahaja termasuk menggunakan logo PKR, tetapi di sebalik wayang yang dimainkan, parti itu membelakangkan rakannya untuk Sabah dan Sarawak. – MalaysiaGazette