Home Nasional Manifesto BN tidak patut ditolak rakyat – TPM

Manifesto BN tidak patut ditolak rakyat – TPM

BUKIT JALIL – Manifesto Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak sepatutnya ditolak rakyat.

Timbalan Pengerusi parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana semua tawaran meliputi semua lapisan masyarakat dan dalam masa sama mengkhususkan bantuan kepada golongan berpendapatan rendah.

“Sebanyak 14 tema utama dan terdapat tidak kurang 292 insentif yang meliputi semua susun lapisan masyarakat.

“Malah mereka yang berpendapatan RM5,000 ke bawah pun diperkirakan untuk memperolehi bantuan secara langsung.

“Ianya merupakan satu keterangkuman yang pada hemat saya satu tawaran yang tidak seharusnya ditolak oleh rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Manifesto BN oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak di Stadium Axiata Arena.

Beliau juga berbesar hati dengan tumpuan yang diperuntukkan kepada golongan belia yang bersesuaian dengan keperluan semasa.

Termasuklah peruntukan sebanyak 1,800 unit rumah dalam Program 1Anggota 1 Rumah (SASaR) untuk anggota veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM),  dan 45,000 unit kediaman Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) menjelang 2030.

Semua ini kata Zahid amat bermakna untuk pasukan keselamatan dalam negara.

“Ia meliputi 14 kumpulan sebenarnya dan keutamaan kepada ibu dan wanita ialah satu pengiktirafan, kebetulan tahun ini adalah tahun perkasakan wanita,” katanya.

Untuk rekod manifesto BN turut menawarkan untuk mewujudkan Program Bantuan Baiki Rumah Veteran Tentera 1Malaysia dengan sasaran menjelang 2020. -MalaysiaGazette