Ahmad Yakub

KOTA BHARU – PAS Kelantan akan mengemukakan 30 peratus calon baharu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini, kata Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Menteri Besar Kelantan itu berkata ada kemungkinan beberapa nama besar yang bertanding pada pilihan raya umum yang lalu akan digugurkan daripada senarai calon.

“Selain itu, muslimat (wanita) masih diberi peluang untuk bertanding. Ada 30 peratus muka baharu dan ada kemungkinan nama besar tak dicalon. Cuma kita menunggu keputusan akhir daripada PAS Pusat,” katanya pada sidang akhbar di Kediaman Rasmi Menteri Besar di JKR10 di sini hari ini.

Beliau sebelum itu mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan berkuat kuasa hari ini selepas mendapat perkenan Pemangku Raja Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Speaker DUN Kelantan Datuk Abdullah Ya’kob.

Ahmad berkata PAS Kelantan juga akan mengekalkan pucuk pimpinan yang mentadbir kerajaan negeri jika parti berkenaan masih diberi mandat oleh rakyat negeri ini.

Sementara itu, Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kelantan berkata PAS Kelantan sedang dalam proses akhir menyiapkan manifesto parti itu bagi negeri ini dan akan diumumkan kemudian.

Mengulas penggunaan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diumumkan Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad malam tadi, Mohd Amar berkata beliau menjangkakan akan timbul banyak masalah dalam pakatan itu selepas ini.

“Bagi saya penggunaan satu logo oleh Pakatan Harapan akan cetuskan banyak masalah kerana kita tahu terdapat perbezaan ideologi dan sikap antara parti-parti gabungan itu.

“Ia bakal mengelirukan (ahli) dan mungkin mencetuskan salah faham dan mungkin perbalahan sesama mereka. Kita jangka macam tu lah…(tapi) ini masalah dalaman mereka dan biar mereka hadapilah,” katanya.- BERNAMA