Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berucap pada Majlis Pelancaran Skim Pelaburan Khas Masyarakat India B40 di PPR Kerinchi, Jalan Pantai Permai 1, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 07 APRIL 2018.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri membidas tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyalahkan MIC dan pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) sebagai punca masyarakat India ketinggalan.

Datuk Seri Najib Razak berkata, Pengerusi Pakatan Harapan itu ada satu sifat ‘hodoh’ iaitu suka menyalahkan orang lain termasuk dalam isu melibatkan komuniti India.

“Dia (Mahathir ) seolah-olah sebersih-bersih manusia, tidak ada dosa atau tak buat kesalahan. Tidak boleh diterima semua pemimpin macam ini sebagai pemimpin negara.

“Apatah lagi selama 22 tahun kamu miliki masa untuk menyelesaikan masalah India, sekarang tiba-tiba janji nak selesaikan dalam masa 100 hari.

“Saya tak rasa komuniti India bodoh untuk mempercayainya (kata-kata janji) atau ingat mudah diperdaya, kaum India sebenarnya percaya bahawa masa depan mereka adalah bersama BN dan saya lakukan kesemua perkara bukan kerana Pilihan Raya Umum 14,” katanya ketika melancarkan Program Skim Pelaburan Khas unit Saham 1 Malaysia golongan B40 Masyarakat India di Pantai Dalam hari ini.

Kata Najib, dalam isu kehilangan pelaburan mata wang asing berjumlah RM31 bilion orang lain disalahkan, penahanan ramai pemimpin dalam Ops Lalang, Ketua Polis Negara pula yang bersalah, jika dasar penswastaan (gagal) EPU (Unit Perancangan Ekonomi) pula dipersalahkan.

Justeru, Najib berkata, dalam usaha memperjuangkan nasib kaum India, sesuatu bermakna telah dilakukan secara adil dan saksama dan yakin tiada sesiapa pun yang dipinggirkan dalam transformasi pembangunan negara secara inklusif.

Skim fasa kedua yang dilancarkan hari ini melibatkan peruntukan dana berjumlah RM500 juta mensasarkan 100,000 golongan B40 komuniti itu untuk menggalakkan penyimpanan masa depan mereka.

Ia merupakan salah satu inisiatif dalam Pelan Induk Pembangunan Masyarakat India atau Blueprint bertempoh 10 tahun yang dilancarkan pengerusi Barisan Nasional itu pada 23 April 2017, katanya.

Najib juga telah menyelesaikan setiap maslah melibatkan kaum India termasuk soal dokumentasi kewarganegaraan, pendidikan, sosioekonomi dan sekolah Tamil diberi perhatian sejak beliau menerajui kerajaan pada tahun 2009.

“Saya anggap segala inisiatif ini sebagai work in progress tetapi kejayaan sangat bermakna telah dicapai setakat ini,” katanya.

Beliau juga membidas Mahathir yang menyalahkan pemimpin MIC terdahulu seperti Tun S. Samy Vellu yang sudah tentu sebagai Menteri Kerja Raya tidak boleh mengarahkan Kementerian Dalam Negeri menyelesaikan soal dokumentasi.

“Malah Kementerian Kerja Raya juga tak boleh mengarahkan Kementerian Kewangan dan EPU memperuntukan dana pembangunan sekolah Tamil seperti sekarang atau menambah penjawat awam India untuk masyarakat minoriti itu.

“Apa yang menteri itu mampu lakukannya ialah hanya boleh arah membina dan memulihkan jalan raya dan projek kerajaan yang tidak tentu menyelesaikan kaum India,” katanya.

Mengulas lagi mengenai pelancaran skim pelaburan itu, Najib berkata, sehingga kini sebanyak 440 juta unit saham telah dilanggan dengan keseluruhan seramai 288,271 pelabur India mencatat pegangangan RM5.2 bilion sejak RM1.5 bilion dilancarkan pada 29 Januari lalu.

“Program khas hari ini ditujukan kepada masyarakat India dengan dana RM500 juta dalam bentuk pinjaman tanpa faedah kepada golongan B40 untuk langganan Amanah Saham Nasional 1 Malaysia.

“Hari ini mereka diberikan unit saham bernilai RM5,000 dan diharap menggunakan peluang ini demi meningkatkan taraf hidup mereka, jika dibayar mengikut jadual mereka akan memiliki nilai unit berjumlah RM8,000 sebagai menambah aset mereka,” tegasnya. – MalaysiaGazette