Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama tetamu yang yang hadir pada 28 Global Forum On Islamic Economics And Finance ketika di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 27 MEI 2024.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan sebarang tindakan untuk mengapungkan harga diesel mengikut harga pasaran semasa akan dilakukan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

“Tunggu pengumuman, selalunya (pengumuman) dilakukan oleh Menteri Kewangan II,” kata Anwar kepada media ketika ditanya sama ada kerajaan mempunyai perancangan untuk mengapungkan harga diesel.

Beliau ditemui selepas merasmikan Forum Global Ekonomi dan Kewangan dengan tema Ekonomi Islam Global: Agenda Reformasi Untuk Kesejahteraan Bersama, di sini, hari ini.

Sementara itu Anwar berkata, kerajaan telah mengambil langkah yang mencukupi bagi memastikan kos tidak dipindahkan kepada pengguna berikutan pengkuatkuasaan subsidi diesel bersasar.

Mengenai permintaan industri agar senarai pengangkutan dalam Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) ditambah, Anwar berkata, perkara tersebut perlu dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) dan Kementerian Pengangkutan.

Sebelum ini, KPDN mengumumkan sembilan jenis kenderaan layak menerima subsidi bersasar melalui Sistem SKDS 2.0. Jumlah itu kemudian ditambah sebanyak 14 kenderaan lagi.

Permohonan bagi program Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani) melibatkan pemilik kenderaan diesel persendirian, petani dan pekebun kecil komoditi akan dibuka bermula hari ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penerima yang layak akan menerima Budi Madani sebanyak RM200 sebulan seiring dengan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Menurutnya, pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak boleh membuat permohonan itu di bawah kategori Budi Individu manakala petani dan pekebun kecil pula Budi Agri-Komoditi.

Kriteria kelayakan Budi Individu membabitkan pemohon warganegara Malaysia, memiliki kenderaan diesel persendirian yang berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selain kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun, cukai jalan aktif serta pendapatan tahunan individu atau pasangan RM100,000 ke bawah.

Setiap permohonan yang diterima akan disemak silang dengan data di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) bagi mengecualikan pemilik kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun dan individu berpendapatan tinggi.

Selain itu, bagi kelayakan Budi Agri-Komoditi, pemohon mesti berdaftar sebagai petani atau pekebun kecil dengan agensi berkaitan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atau Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK). – MalaysiaGazette