Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki bercakap pada Sidang Media berkenaan Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola Penyelarasan dan Pengurusan Aset Tenaga Elektrik di Malaysia di Ibu Pejabat Tenaga Nasional Berhad, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 27 MEI 2024

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tidak ada sebarang kesalahan dalam penganugerahan kontrak Kerajaan Negeri Selangor kepada Asia Mobility Technologies Sdn Bhd yang diterajui suami Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, tugas Hannah sebagai Menteri Belia dan Sukan tidak ada kaitan dengan Kerajaan Negeri Selangor.

Menurut Azam, kesalahan hanya berlaku jika kontrak tersebut diberikan oleh Hannah atau kementerian yang diterajuinya kepada syarikat suami beliau.

“Suami dia dapat kontrak daripada Kerajaan Negeri Selangor sementara Hannah sebagai Menteri Belia dan Sukan. Saya nampak tidak ada kaitan Kerajaan Negeri Selangor dengan Kementerian Belia dan Sukan.

“Melainkan Kementerian Belia dan Sukan memberi projek kepada suami Hannah itu lain cerita.

“Berdasarkan laporan yang saya terima dari media ini merupakan satu projek atau kontrak yang diberikan oleh satu entiti lain yang tidak ada kena mengena dengan Hannah. Buat masa ini saya tidak nampak ada sebarang kesalahan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola Penyelarasan dan Pengurusan Aset Tenaga Elektrik di Malaysia di Ibu Pejabat Tenaga Nasional Berhad Bangsar hari ini.

Turut hadir Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Datuk Ir. Ts. Abdul Razib Dawood.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Datuk Ir. Ts. Abdul Razib Dawood dan Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola Penyelarasan dan Pengurusan Aset Tenaga Elektrik di Malaysia di Ibu Pejabat Tenaga Nasional Berhad, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 27 MEI 2024

Media sebelum ini melaporkan, Asia Mobility merupakan salah sebuah syarikat pengendali Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) yang dilantik oleh Kerajaan Selangor.

Pengguna aplikasi X @RakyatAduan mempersoal mengenai pelantikan Asia Mobility susulan dakwaan syarikat itu dimiliki suami Hannah, Ramachandran Muniandy yang menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif selain persoalan sama ada pelantikan syarikat itu dilakukan sebagai tender terbuka.

Pada Jumaat, Exco Pelaburan, Perdagangan, dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han berkata Asia Mobility dan Badan Bas Coach – telah dipilih menjalankan sistem pengangkutan awam bagi batuan pertama dan terakhir di negeri itu.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas pembentangan kepada jawatankuasa pengangkutan negeri dan berdasarkan pengalaman mereka melaksanakan konsep itu. – MalaysiaGazette

 

3 Komen

  1. Dia mcm ni…kalai Menteri Ekonomi bagi kontrak kepada keluarga Menteri Kewangan, ok…kalau Menteri Pengangkutan bagi kontrak kpd isteri Menteri Kesihatan ok..Kalau Menteri Insdustri Asas Tani bagi kontrak kpd adik beradik Menteri Belia dan Sukan juga ok…yg tak oknya ialah kalau Menteri Kewangan bagi kontrak kpd keluarga Perdana Menteri…yg ni baru namanya rasuah..betul tak Azam Baki? Terbaiklah..tahniah dipanjangkan kontrak perkhidmatan

  2. Oh lg satu wahai Mr. Azam Baki..jgn lupa syarikat Fidlot Nasional yg difitnah oleh PKR diketuai oleh Rafizi Ramli. SPRM bukan main ghairah siasat yer..ko dah lupa kah…Kementerian Asas Tani di bawah DS Noh Omar yg kendalikan projek Fidlot dgn kerjasama Kerajaan Negeri Sembilan. Tak ada kena mengena dgn DS Sharizat Jalil yg merupakan Menteri Pembangunan Wanita. Tp masa tu SPRM menyalak satu dunia..dan akhirnya selepas 12 tahun suami dan keluarga DS Sharizat didapati mahkmah tak bersalah..mangsa fitnah Rafizi kaki fitnah..skrg ko double standard plak yer? Ko mmg musibat laa Azam Baki

Comments are closed.