ACP Chin Kiam Kong, 54 (kiri) dan DSP Suhairon Abdullah didakwa atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1.25 juta dipercayai bagi menutup siasatan membabitkan pembelian senjata api warga Israel, pada April lalu tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 28 MEI 2024.

KUALA LUMPUR – Dua pegawai kanan polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas (Rasuah) Jalan Duta, di sini, terhadap dakwaan menerima rasuah berjumlah RM1 juta untuk membantu menutup siasatan membabitkan seorang ahli perniagaan yang dikaitkan dengan mata wang kripto dan pembelian senjata api oleh warga Israel.

Kedua-dua tertuduh, Ketua Penolong Pengarah Siasatan Perakuanan Forensik, JSJK Bukit Aman, Asisten Komisioner (ACP), Chin Khiam Kong, 54, dan Ketua Unit, Siasatan Jenayah Cryptocurrency, JSJK Bukit Aman, Deputi Superintenden (DSP), Suhairon Abdullah, 42, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim, Azura Alwi.

Khian Kong merupakan Penolong Pengarah Siasatan Perakaunan Forensik manakala Suhairom merupakan Ketua Unit Siasatan Jenayah Cryptocurrency yang mana kedua-duanya bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

Menurut fakta pertuduhan pertama, Khiam Kong dan Suhairon didakwa bersama-sama, sebagai pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM), secara rasuah bersetuju untuk menerima suapan RM1 juta daripada Khoo Zixian, 28, untuk membantu menutup siasatan jenayah ke atasnya, berkaitan kes bawah Seksyen 120 Kanun Keseksaan (kes keselamatan negara).

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Bilik Mesyuarat, Bahagian Siasatan Perakaunan Forensik/Cryptocurrency, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Menara KPJ, Jalan Tun Razak, di sini, pada jam 12 tengah hari hingga 1 petang pada 8 April lalu.

Bagi fakta pertuduhan kedua, mereka didakwa telah menerima suapan wang itu, daripada Khoo Zixian untuk dorongan serupa iaitu membantu menutup siasatan jenayah ke atas Khoo Zixian di ruang letak kereta, menara itu, pada jam 4.29 hingga 4.40 petang hari sama.

Mereka dituduh di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan [Akta 574] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika disabitkan kesalahan kedua-dua tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Khiam Kong turut didakwa atas dua lagi pertuduhan asing iaitu bersetuju untuk memperoleh rasuah dan telah menerima suapan wang RM250,000 daripada individu sama sebagai dorongan serupa, berkaitan kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (kes menipu), di lokasi sama, pada jam 12.30 tengah hari, 18 April dan 10.30 pagi 19 April lalu.

Dua-dua kes itu juga didakwa di bawah Seksyen 16(a)(B) akta sama dengan hukuman sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Syed Faisal Syed Amir yang mengendalikan pendakwaan kes itu mencadangkan setiap tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes ini selesai.

“Yang Arif, kesalahan yang dilakukan dua tertuduh ini, sangat serius kerana melibatkan wang lebih RM1 juta, maka cadangan ini adalah munasabah,” katanya.

Bagaimanapun, peguambela tertuduh, Jacky Loi yang mewakili Khiam Kong, merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah dengan mengambil kira dia telah berkhidmat kepada negara selama 29 tahun.

“Dia mempunyai empat anak berusia 27 hingga 18 tahun, yang mana bongsu masih belajar di luar negara selain dia tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri,” katanya.

Sementara itu, peguambela, Ridha Abdah Subri yang mewakili Suhairon pula merayu mahkamah supaya jaminan anak guamnya dikurangkan bahawa pegawai polis itu telah berkhidmat lebih 20 tahun, maka tiada sebab untuk dia melarikan diri.

β€œDia perlu menyara ibu bapa yang uzur, isteri dan empat anaknya yang masih bersekolah rendah,” katanya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Azura membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan seorang atau dua penjamin, dengan syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Beliau menetapkan 30 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut. – MalaysiaGazette