Home Utama Najib mahu Malaysia jadi negara terhebat dunia

Najib mahu Malaysia jadi negara terhebat dunia

Najib Razak

KOTA BHARU- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji untuk membawa Malaysia ke tangga ke-22 antara yang terhebat di dunia di jika Barisan Nasional (BN) diberi mandat untuk mentadbir negara sekali lagi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Najib berkata, sebagai seroang pemimpin beliau perlu melakukan sesuatu yang terbaik untuk rakyat pada sepanjang masa.

“Kita kena buat sesuatu supaya hari ini lebih baik daripada semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini. Insya Allah di bawah BN kita akan menjulang negara ini. Kita tak mahu ke terbelakang.

“Kita nak pergi jauh lagi tuan-tuan, bukan nak pergi setahun dua. Kita nak bawa Malaysia jadi negara yang hebat, antara ke-22 yang terhebat (di dunia),” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama Warga Ketereh di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) di Kampung Wakaf Tok Wali, Melor di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Jazlan Yaakub, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua UMNO bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa.

Mengulas lanjut, Najib yang juga Pengerusi BN berkata, antara contoh terdekat adalah pengurusan ekonomi yang cekap yang dilaksanakan kerajaan ketika ini.

“Kecekapan kita urus hasil ekonomi menyebabkan hasil bertambah. Ambo (saya) beritahu kepada pegawai di Kementerian Kewangan, cuba tengok buku, kalau hasil bertambah kita pulang balik kepada rakyat.

“Ambo kata buleh tambah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), dia (pegawai) kata boleh. Dan dia tanya nak naik berapa” RM200, RM300″ Ambo kata kita tak main RM300, kita tambah RM400,” katanya.

Beliau berkata, penambahan (bayaran) terhadap BR1M juga disebabkan harga minyak mentah meningkat kepada USD69 setong berbanding USD52 setong ketika Bajet 2018 dibentangkan di Dewan Rakyat pada tahun lepas.

Beliau turut menempelak pembangkang yang membuat pusingan-U apabila kini bersetuju mengekalkan BR1M walaupun sebelum ini bermati-matian menentangnya. – MalaysiaGazette